
Kota Kinabalu: Senator Datuk Phoong Jin Zhe (gambar) menggesa pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) disegerakan bagi mengatasi masalah kekurangan parkir di hospital berkenaan.
Menurut jawapan bertulis Kementerian Kesihatan di Parlimen, Kerajaan Persekutuan mengesahkan cadangan pembinaan kemudahan itu akan dilaksanakan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menangani masalah kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas yang telah lama dihadapi pesakit, pelawat serta kakitangan hospital.
Kementerian memaklumkan HQE ketika ini hanya mempunyai 1,089 petak parkir sedia ada, sedangkan jumlah kenderaan yang memasuki kawasan hospital setiap hari melebihi 2,000.
Menurut kementerian, kerja-kerja awal kini sedang dijalankan bagi menaik taraf blok klinikal serta membina blok sokongan baharu yang merangkumi cadangan pembinaan tempat letak kereta bertingkat.
Kerja-kerja awal itu dijangka siap pada suku keempat 2026, manakala pelaksanaan projek disasarkan bermula pada 2028.





