Pemburuan emas bermula

20 Sep 2026 • 7:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemburuan emas bermula

PETALING JAYA: Misi Malaysia memburu enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula apabila kontinjen negara meletakkan sasaran membawa pulang 33 pingat keseluruhan daripada temasya terbesar Asia itu yang berlangsung semalam hingga 4 Oktober depan.

Selain enam emas, Malaysia turut menyasarkan tujuh pingat perak dan 20 gangsa dalam usaha memperbaiki pencapaian di pentas Sukan Asia ketika berdepan cabaran sengit daripada kuasa-kuasa besar benua ini.

Seramai 352 atlet dan 185 pegawai akan menggalas cabaran negara dalam 30 daripada 43 jenis sukan, membabitkan penyertaan 156 acara.

Sebanyak 13 jenis sukan dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat kepada negara iaitu badminton, berbasikal trek, memanah, terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wushu, e-sukan dan menembak.

Daripada senarai tersebut, skuasy, sepak takraw, berbasikal trek dan wushu dilihat sebagai sandaran utama untuk merealisasikan sasaran enam pingat emas yang ditetapkan.

Skuasy dijangka menjadi penyumbang terbesar apabila tiga acara iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan berpasukan wanita berpeluang mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi Hangzhou 2022.

Harapan turut disandarkan kepada legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang masih berpotensi menghadiahkan emas menerusi acara pecut dan keirin.

Dalam pada itu, juara dunia wushu, Tan Cheong Min yang diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara, turut berada dalam senarai prospek emas menerusi acara nanquan-nandao.

Dengan gabungan atlet berpengalaman dan muka baharu yang sedang meningkat naik, kontinjen negara kini memulakan pemburuan enam emas yang menjadi ukuran utama kejayaan Malaysia di Aichi-Nagoya 2026.-UTUSAN

The post Pemburuan emas bermula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved