‘Pemergian’ Mohd. Khairil bantu dua individu lain terus hidup

Health & Fitness
17 Aug 2026 • 2:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Pemergian’ Mohd. Khairil bantu dua individu lain terus hidup

ALOR SETAR: Hidup Allahyarham Mohd. Khairil Jamaludin berakhir pada 12 Ogos lalu selepas dia disahkan mengalami kematian otak.

Namun ia memberi peluang kehidupan buat dua individu yang lain selepas keluarga Mohd. Khairil bersetuju untuk mendermakan dua buah pinggang milik Allahyarham

Lebih menyentuh hati, proses pendermaan itu secara kebetulan berlaku pada sambutan Hari Pendermaan Organ Sedunia pada 13 Ogos lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Menurut isterinya, Norasmani Ahmad, 44, dia pada awalnya agak keberatan untuk menderma organ arwah suaminya itu apatah lagi Mohd. Khairil juga bukanlah pengikrar untuk menderma organ.

“Saya memang harap ada jalan untuk sembuh tetapi apabila doktor terangkan keadaan otaknya dan mengatakan sudah tiada pilihan, saya reda. Saya fikir mungkin inilah pengakhiran yang Allah tetapkan untuk dia.

“Tentang pendermaan organ itu memang saya tidak terfikir langsung dan rasa kasihan kepada arwah tapi saya rasa dijentik hati selepas bertemu seorang jururawat dikenali sebagai Kak Ros ketika menguruskan suami di hospital.

“Ayat dia ringkas sahaja iaitu ‘bukan semua orang terpilih yang Allah beri untuk terima kesakitan macam ini, tetapi hari ini Allah pilih suami dengan kematian otak dan mungkin dengan sebab ini dia boleh bantu orang lain untuk hidup,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kata Norasmani, dia kemudian berbincang dengan keluarga dan mendapatkan penjelasan daripada ustaz mengenai hukum pendermaan organ yang diharuskan bagi membantu menyelamatkan nyawa.

“Apabila saya diterangkan mengenai hukum dan fatwa berkaitan pendermaan organ, saya rasa lebih jelas dan lega. Saya juga tanya anak dan dia bersetuju. Doktor pun kata mereka tidak memaksa dan keputusan itu perlu dibuat dengan persetujuan keluarga,” katanya.

Ujarnya, dia kemudian teringat kata-kata suaminya yang sering menyatakan hasrat untuk membantu orang lain walaupun tidak mempunyai kemampuan daripada segi kewangan.

“Dia selalu kata kalau tidak boleh tolong orang dengan duit, dengan keringat pun boleh. Jadi saya fikir, mungkin inilah cara Allah beri peluang kepada dia untuk bantu orang lain dan saya dimaklumkan bukan semua kematian memenuhi syarat untuk pendermaan organ.

“Jadi, saya bersetuju untuk mendermakan dua buah pinggang arwah kerana saya tahu ramai pesakit masih menunggu organ itu berbanding bahagian lain,” katanya.

Tambah Norasmani, pihak hospital memaklumkan salah seorang penerima berada di Kuala Lumpur namun tidak diberitahu identiti.

Dia bagaimanapun mengharapkan supaya organ itu diterima dengan baik dan penerima dapat menjalani kehidupan seperti biasa. – UTUSAN 

 

The post ‘Pemergian’ Mohd. Khairil bantu dua individu lain terus hidup appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved