
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Isnin (28 September) lalu nyata mengejutkan ramai pihak.
Sehingga ke hari ini (2 Oktober), masih ramai yang terkesan dan sedih dengan pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah khususnya Tun M sendiri dan ahli keluarga.
Keadaan ini juga menyebabkan ada yang prihatin mengenangkan kehidupan Tun Mahathir tanpa isteri tercinta di sisi.
Mukhriz Rayu Orang Ramai Beri Ruang, Tun Mahathir Perlu Ambil Masa Terima Hakikat
Malam tadi (1 Oktober), anak kepada pasangan tersebut, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu agar orang ramai memberi ruang dan masa kepada bapanya untuk melalui tempoh berdukacita.
Jelas Mukhriz, pemergian Allahyarham masih memberi kesan mendalam kepada bapanya dan proses untuk menerima kehilangan itu memerlukan masa.
“Tun Mahathir seperti mana yang kita boleh lihat, belum sampai seminggu menghadapi pemergian isteri kesayangan beliau yang telah bersama selama 70 tahun.
“Tentu akan mengambil masa untuk beliau betul-betul menerima hakikat bahawa Allahyarham bonda sudah tidak bersama kita lagi.
“Saya rasa apa yang berlaku sekarang sedikit sebanyak merupakan manifestasi kepada keadaan emosi dan kesihatan beliau,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Mukhriz berkata demikian selepas Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah yang diadakan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.
Berada Di Rumah Buat Tun M Ingat Tentang Allahyarham, Tinggal Di IJN Buat Sementara Waktu Lebih Baik
Tambah Mukhriz lagi, berada di rumah juga bukanlah satu perkara yang mudah buat Tun Mahathir.
Ini kerana jelasnya, setiap sudut kediaman membuatkan Tun M teringat kepada Allahyarhamah.
Oleh kerana itu, Mukhriz menjelaskan adalah lebih baik bapanya berada di Institut Jantung Negara (IJN) buat sementara waktu sehingga keadaan beliau benar-benar pulih.
“Saya kira kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih.
“Hari ini (1 Oktober) pun beliau sudah pergi menziarahi pusara Allahyarham dan itu satu perkembangan yang baik,” katanya.
Mukhriz Harap Semua Pihak Fahami Keadaan Bapa, Tak Beri Tekanan Yang Berlebihan
Susulan itu, Mukhriz mengharap agar orang ramai memahami keadaan yang sedang dilalui oleh bapanya serta tidak memberi tekanan yang berlebihan disebabkan keadaan emosi beliau pada ketika ini.
“Saya merayu sangat-sangat, kalau boleh jangan tekan beliau sangat untuk mengetahui keadaan emosi dan sebagainya.
“Bayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi yang sama. Sudah tentu kita juga akan merasai kehilangan yang amat besar. Jadi berilah beliau sedikit ruang dan masa untuk pulih dengan sendiri,” jelasnya.
Tun M Sebak Lawat Pusara Isteri, Tak Cukup Tidur Selepas Pemergian Tun Hasmah
Semalam, Tun Mahathir dilihat gagal menahan sebak dan menangis ketika menziarahi pusara Tun Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20.
Difahamkan, beliau dalam perjalanan pulang dari IJN ke kediamannya selepas menjalani rawatan berkala.
Menurut Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, Tun M keletihan kerana tidak cukup tidur selepas pemergian isteri tercinta.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah sebelum ini menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada Isnin (28 September) lalu.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah yang juga digelar Ibu Negara itu menamatkan lebih 70 tahun usia pasangan berkenaan yang sering dianggap sebagai pasangan paling dihormati dalam sejarah negara.
View on Threads
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Tun Dr Siti Hasmah Meninggal Dunia Di IJN Pagi Ini, Hembus Nafas Terakhir Pada Usia 100 Tahun
Baca Artikel Berkaitan: Kehilangan Besar Buat Negara, Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Dirasai Banyak Pemimpin & Kenalan






