
PUTRAJAYA – Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat pemilik sebuah akaun media sosial yang mengubah gambar jurugambar dan wartawan menjadi lembu ketika menjalankan tugas membuat liputan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusara Negara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan perkara berkenaan ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sini tadi.
Katanya, kertas siasatan itu dibuka selepas pihaknya menerima laporan polis yang dibuat Kelab Media Putrajaya (KMP) hari ini.
“Siasatan akan dibuka ikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, KMP membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, selain mengemukakan aduan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Tindakan itu susulan janaan sekeping gambar memaparkan petugas media yang telah diubah menjadi seperti haiwan dan dimuat naik menerusi sebuah akaun media sosial.
Imej berkenaan turut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang didakwa menghina petugas media ketika mereka sedang melaksanakan tanggungjawab secara profesional.
Dalam kenyataan, KMP memandang serius tindakan berkenaan dan menegaskan pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga.
KMP turut menegaskan tindakan terhadap pengamal media yang sedang menjalankan tugas secara profesional tidak seharusnya dipandang ringan, selain menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Polis buka kertas siasatan gambar petugas media jadi lembu appeared first on Kosmo Online.






