
KISAH rumah tangga pasangannya yang sentiasa harmoni sering kali dijadikan inspirasi, namun kali ini Datuk Yusry Abdul Halim tampil berkongsi sisi berbeza sebagai seorang bapa.
Manakan tidak, sepanjang isteri kesayangannya, Datin Lisa Surihani berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadat haji, tanggungjawab menguruskan anak-anak dan rumah tangga jatuh sepenuhnya ke bahu Yusry.
Melalui fasa bergelar 'bapa sepenuh masa' ternyata memberikan satu pengalaman baharu yang membuatkan pengarah dan pelakon ini lebih menyelami erti sebenar pengorbanan seorang ibu.
Yusry secara terbuka mengakui tugas menguruskan rumah tangga bukanlah satu perkara yang mudah apabila dia perlu mengambil alih tugas harian Lisa sepenuhnya.

"Saya ambil alih tugas uruskan rumah tangga yang mana hantar anak dan ambil anak balik dari sekolah, periksa kerja rumah mereka," katanya berkongsi rutin harian bersama anak-anak.
Jelasnya lagi, situasi itu membuatkan dirinya lebih menghargai peranan isterinya selama ini yang banyak menguruskan hal domestik keluarga.
"Sebelum ini, saya ambil mudah dan take for granted kerana Lisa yang banyak uruskan. Jadi, bila saya sendiri yang uruskan baru sedar banyak kerja seorang ibu.
"Apabila menjadi ayah sepenuh masa, kerja ayah kena buat, kerja ibu pun kena buat," ujarnya yang kini lebih selektif menerima tawaran luar demi memberikan tumpuan penuh kepada anak-anak.
Sepanjang tempoh itu, beliau juga sering memujuk anak-anak agar tabah dan memahami situasi ibunya yang sedang beribadat.
"Saya akan beritahu anak-anak jika mereka rindu, dia (ibu) ada di sana tengah beribadah, tak boleh merungut. Syukur saja.

"Saya juga berharap masa berjalan lancar," tambahnya lagi yang menghitung hari kepulangan isteri tercinta.
Dalam perkembangan lain, nama Yusry kini kembali menjadi bualan hangat netizen selepas penampilannya yang begitu mengesankan sebagai Datuk Muzaffar dalam drama rantaian Dendam Seorang Mentua.
Watak tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada penonton sehingga tular di media sosial. Yusry yang kini berusia 53 tahun mendedahkan, pada awalnya dia sendiri tidak menyangka akan ditawarkan watak utama dalam naskhah berkenaan memandangkan faktor usianya.
"Ketika mula menerima tawaran lakonan ini saya bertanya kepada mereka adakah ini watak seorang abang atau bapa? Yang mana saya sangkakan sesuai dengan umur 53 tahun.
"Tetapi mereka kata tidak, ini adalah watak utama. Saya kata, gila ke ‘orang tua’ jadi watak utama?" selorohnya mengimbas kembali momen awal menerima skrip.
Melihat kepada maklum balas penonton yang sangat positif, pelantun lagu Dekat Padamu ini meluahkan rasa terkejut dan tidak menyangka karakter lelaki matang yang dibawakannya mampu memikat hati penonton pelbagai lapisan usia.
"Saya terkejut sebab tidak sangka pula ramai suka dengan ‘orang tua’. Saya pun tidak faham tapi mungkin kerana mereka suka watak yang dibawa oleh Datuk Muzaffar iaitu seorang lelaki yang sangat penyayang.
"Saya senang sekali dapat membawa watak ini," kongsinya gembira.

Jelasnya Yusry, sebelum menerima tawaran tersebut, dia ada berbincang dengan Lisa dan melihatnya sebagai satu peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan begitu sahaja.
"Saya berbincang dengan isteri, orang selalu cakap artis lama tak diberikan peluang jadi apabila saya dapat tawaran tersebut, saya rasa saya perlu lakukannya.
"Watak ini menjadi akhirnya. Ini rezeki daripada ALLAH SWT, kita tak pernah rancang atau minta," katanya merendah diri.
Kejayaan drama tersebut bukan sahaja menaikkan semula nama ahli kumpulan KRU itu, bahkan beliau melihat perkembangan ini sebagai satu isyarat positif bahawa industri seni tempatan kini sudah semakin matang dalam menerima kehadiran pelakon senior sebagai teraju utama.
Senario tersebut sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk rakan-rakan seangkatan dengannya terus menyinar.
"Pada saya ada ruang untuk pelakon-pelakon senior seperti saya untuk jadi watak utama. Kecomelan orang-orang berusia ini ada juga sebenarnya.
"Penonton juga ada yang bukan dari seusia kami, malah budak-budak pun layan.
"Kalau dulu kita selalu berkata, ‘kenapa Hollywood boleh, kita tak boleh?’ Tetapi akhirnya perkara ini menjadi terbuka di dalam industri kita, saya rasa penonton kita pun sudah matang," jelasnya.






