Seperkara penting mengenai pemilikan kereta elektrik adalah pengecasan yang perlu dilakukan untuknya. Isu ini merupakan satu isu yang penting terutamanya untuk pemilik EV yang menghuni kondominium kerana ketiadaan pengecasan, tidak sama seperti rumah diatas tanah yang biasanya pemilik boleh memasang kotak pengecasan secara terus. Namun begitu kini semakin banyak kondominium turut dipasang dengan pengecas EV, dan PRO-NET hari ini mengumumkan kadar khas pengecasan pada harga RM 0.63 / kWh untuk pemilik EV e.MAS di lebih 500 kondominium.

Bagi mendapatkan kadar ini, pemilik e.MAS perlukan menggunakan aplikasi Proton e.MAS dan mengaktifkan pengecasan menerusinya. Kadar eksklusif ini meliputi lebih dari 1,500 palam pengecasan di lebih 500 kondominium seluruh Malaysia, dengan lokasi-lokasi kondominium termasuklah di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak dan bandar-bandar besar yang lain. Menggunakan aplikasi Proton e.MAS, rangkaian pengecasan yang disokongnya termasuklah ChargEV, Gentari, JomCharge, Time Charge ’n Go, ChargeSini, Shell Recharge, Carput Zap, DC Handal, eCharge+ dan Rexharge.

Diskaun pengecasan sebanyak RM 0.63/kWh ini tersedia sehingga 31 Disember 2026. Dengan diskaun sebegini ia dilihat menawarkan penjimatan jangka panjang apabila mengaktifkan pengecasan menerusi aplikasi Proton e.MAS jika dibandingkan dengan pengecasan secara terus, seperti contoh JomCharge yang mengenakan RM 0.70/kWh atau Time Charge n Go RM 0.90/kWh. Malah pada kadar 0.63/ kWh ini juga sedikit sebanyak menghampiri kadar pengecasan ToU TNB di rumah pada waktu puncak RM 0.28/kWh

Anda boleh ke halaman Proton e.MAS Charging untuk menyemak sekiranya kediaman bertingkat anda mempunyai pengecasan yang boleh diaktifkan menerusi aplikasi Proton e.MAS. Dengan diskaun sebegini walaupun pada tempoh terhad, tetap akan menguntungkan pemilik dan menepis stigma isu pemilikan EV untuk penghuni kediaman bertingkat.




