
KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan disaran meningkatkan perlindungan insurans menerusi tambahan Peril Khas (Special Perils) bagi mengurangkan risiko kerugian kewangan akibat kerosakan kenderaan susulan kejadian banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General), Sean Wang berkata, kedudukan geografi Malaysia menyebabkan negara ini terdedah kepada risiko banjir yang boleh mengakibatkan kerosakan besar, selain menjejaskan kehidupan harian dan aktiviti ekonomi.
Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil langkah persediaan awal dengan memantau perkembangan cuaca serta memastikan perlindungan insurans yang dimiliki mencukupi bagi menghadapi kemungkinan bencana berkenaan.
“Antara langkah penting yang perlu diberi perhatian termasuk memantau ramalan cuaca dan amaran banjir menerusi saluran rasmi, menyediakan pelan kecemasan serta kit keperluan asas.
“Orang ramai juga disaran menyimpan salinan digital dokumen penting seperti kad pengenalan, rekod kewangan dan polisi insurans bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku pemindahan atau kerosakan akibat banjir,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemilik kenderaan disaran memastikan polisi insurans kereta atau motosikal turut merangkumi perlindungan Peril Khas bagi melindungi kenderaan daripada kerosakan akibat bencana alam seperti banjir.
Perlindungan tambahan itu penting kerana pemilik kenderaan yang hanya mempunyai polisi komprehensif biasa tidak semestinya dilindungi daripada kerugian akibat banjir tanpa perlindungan Peril Khas.
Selain kenderaan, pemilik dan penyewa kediaman juga boleh mempertimbangkan perlindungan insurans rumah yang merangkumi kerosakan akibat banjir, termasuk terhadap struktur bangunan dan kandungan isi rumah.
Sementara itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut dikenal pasti antara sektor yang terdedah kepada risiko gangguan operasi dan kerugian kewangan akibat kejadian banjir.
Bagi membantu perniagaan mengurangkan risiko berkenaan, Allianz General menyediakan panduan General Flood Guideline khusus untuk pemegang polisi komersial dan PKS.
Panduan itu merangkumi langkah praktikal bagi memastikan operasi dan kesinambungan perniagaan dapat diuruskan sebelum, semasa dan selepas banjir, selain menyediakan maklumat untuk menghubungi agensi kerajaan berkaitan.
Allianz General turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak semula polisi insurans masing-masing bagi memastikan skop perlindungan yang dimiliki bersesuaian dengan risiko kerosakan akibat banjir.-UTUSAN
The post Pemilik kenderaan disaran tambah perlindungan hadapi risiko banjir appeared first on Utusan Malaysia.






