
Kota Kinabalu: Pemilik sebuah premis hiburan didenda RM3,500 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda kerana mengendalikan premis berkenaan tanpa lesen sah.
Simon Chee Ket Sing mengaku bersalah di hadapan Majistret Farrah Fariza Wan Ghazali selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dia didapati mengendalikan premis hiburan tanpa lesen di Glory Cafe, Kepayan Point pada jam 11 malam, 18 Julai tahun ini.
Kesalahan mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam dan boleh dihukum mengikut Seksyen 11 ordinan sama itu membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Esther Cynthia Jebon mengendalikan pendakwaan.
Sementara itu seorang wanita berusia 27 tahun didenda RM1,200 atau penjara dua bulan kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram di tempat awam.
Majistret Dzul Helmy Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Brenda Basil yang mengaku bermain judi haram pada jam 2.15 petang, 19 Oktober tahun ini di hadapan Kedai Runcit CC, Lorong Cyber Square 1, Pusat Komersial Cyber Square.
Dalam mahkamah sama seorang lelaki berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana menyembunyikan bateri kereta yang dicuri.
Mohd Shahrunizal Hardi mengaku bersalah menyembunyikan bateri kereta curi secara tidak jujur di kawasan semak berhampiran Jalan Bantayan, Inanam pada jam 4 petang, 22 Oktober tahun ini.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh mengendalikan pendakwaan.

.jpg?t=1793175885)




