Pemilik restoran warga Jepun mengaku tidak bersalah cederakan teman wanita

21 Aug 2023 • 7:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik restoran warga Jepun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap teman wanita senegaranya, dua bulan lalu.

Tertuduh, Shozo Kamizato, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Gomi Mikiko, 30, dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan di sebuah rumah di Kepong, di sini, pada jam 2 pagi, 14 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM4,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Peguam Azman Aziz, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tinggal di negara ini selama 12 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan perlu melapor di balai polis terdekat sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Sept ini untuk sebutan kes. -Bernama