Pemilik Rumah Anak Yatim Ditahan Gara-gara Eksploitasi Kanak-kanak Di Live TikTok Untuk Dapatkan Wang

Entertainment
23 Sep 2023 • 10:34 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini kecoh di negara jiran kita apabila ada seorang lelaki yang dikatakan pemilik sebuah rumah anak yatim telah mengeksploitasi kanak-kanak dan bayi yang berada di bawah jagannya ketika siaran Live di TikTok untuk memancing sumbangan.

Memetik laporan CNN Indonesia, difahamkan pada mulanya lelaki tersebut telah menjadi perhatian ketika Live TikTok kerana ketika siaran tersebut, dia dilihat telah memberikan bayi berusia dua bulan makan bubur sedangkan bayi hanya boleh diberikan makanan seperti itu ketika usia mereka memasuki enam bulan.

image is not available

Dalam siaran langsung TikTok yang sama juga pada pukul 1 pagi itu, dikatakan ada beberapa orang lagi kanak-kanak lain yang sedang tidur.

Tindakan pemilik rumah anak yatim itu kemudiannya telah dikecam oleh netizen.

Rupa-rupanya, setelah disiasat oleh pihak polis di sana, rumah anak yatim itu beroperasi tanpa permit yang sah dan tidak berdaftar kerana pemiliknya yang dikenali sebagai Zamanueli dan isterinya hanya mendaftar untuk mendirikan yayasan yang dinamakan Tunas Kasih Olayama Raya.

Difahamkan, kini lelaki tersebut juga telah ditahan oleh pihak polis kerana didakwa telah melakukan eksploitasi kanak-kanak untuk kepentingan peribadi.

Buat masa ini, kanak-kanak yang tinggal di rumah anak yatim itu telah dijaga oleh bahagian Kementerian Sosial di negara itu.

Untuk pengetahuan semua, terdapat 26 orang kanak-kanak dan remaja yang dijaga di rumah anak yatim itu dan ia dikatakan mula beroperasi tanpa permit sejak awal tahun ini.

Namun, bermula empat bulan lepas, pemilik rumah anak yatim itu mula menggunakan kanak-kanak di situ di siaran langsung TikTok untuk meraih simpati dan sumbangan daripada netizen.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.