Pemilikan kenderaan lebih mudah dengan perancangan kewangan bijak

Personal FinanceCars
26 Oct 2026 • 7:24 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemilikan kenderaan lebih mudah dengan perancangan kewangan bijak

SHAH ALAM – Memiliki kereta bukan sekadar memilih model yang diminati, sebaliknya keputusan kewangan besar yang perlu mengambil kira kemampuan sebenar, kos pemilikan dan komitmen jangka panjang.

Atas kesedaran itu, platform ­digital bersepadu pertama Malaysia untuk pembiayaan kenderaan, Tras, mahu mengubah cara rakyat membuat keputusan pembelian dengan membantu pengguna memahami kedudukan kewangan sebelum memilih kenderaan dan mendapatkan pembiayaan.

Dibangunkan EON Capital, sebahagian daripada Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tras berfungsi sebagai pusat sehenti yang menghubungkan pembeli, pengedar dan institusi kewangan bagi memberikan pengguna lebih kawalan dan keyakinan dalam membuat keputusan pembelian.

Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) merupakan rakan pengedar utama dan pertama Tras, sekali gus menjadi tunjang kepada rangkaian pengedar platform itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, ­Kazrin Khairul Anuar berkata, lebih 90 peratus pembeli kereta di negara ini memerlukan pembiayaan, namun proses sedia ada masih banyak bergantung kepada kaedah manual dan bantuan ejen jualan.

“Konsep utama Tras adalah memberi ketenangan fikiran kepada pelanggan. Mereka boleh membuat permohonan pembiayaan sendiri secara dalam talian, memilih bank dan menyerahkan dokumen secara terus melalui platform kami.

Image from: Pemilikan kenderaan lebih mudah dengan perancangan kewangan bijak
Kazrin akan memastikan perkhidmatan Tras mudah diakses dan menawarkan kemudahan terbaik kepada pelanggan.

“Pada masa sama, kami membantu pelanggan memahami sama ada mereka benar-benar mampu memiliki kereta berkenaan, bukan sekadar melihat pada tanda harga,” katanya dalam sesi temu bual di ibu pejabat Tras di Glenmarie, baru-baru ini.

Bagi tahun 2026, sehingga September lalu, jumlah pembiayaan yang disalurkan menerusi platform itu mencecah kira-kira RM290 juta, dengan purata nilai pembiayaan sekitar RM80,000 bagi setiap kenderaan.

Daripada jumlah itu, sekitar 90 peratus daripadanya diperoleh menerusi rangkaian pengedar, manakala selebihnya melalui permohonan terus daripada pelanggan.

Majoritinya membabitkan ken­deraan segmen permulaan dan jenama nasional seperti Proton Saga serta Persona, selain ­model Mitsubishi dan Honda yang ­me­n­yumbang kepada peningkatan purata nilai pembiayaan.

Kazrin berkata, fokus Tras bukan sekadar mempercepatkan proses mendapatkan pinjaman, sebalik­nya membantu pembeli terutama golongan muda dan pembeli kereta pertama memahami keseluruhan kos memiliki kenderaan.

Sehubungan itu, Tras menyediakan alat pengiraan kemampuan kewangan dikenali sebagai CarCulator yang membolehkan pengguna memasukkan maklumat asas seperti pekerjaan dan julat pendapatan bulanan sebelum sistem mencadangkan model kenderaan bersesuaian dengan profil mereka.

Sejak diperkenalkan, lebih daripada 10,000 pengguna telah menggunakan kemudahan ini, sekali gus membuktikan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan merancang berdasarkan kemam­puan sebelum membeli kenderaan.

Terbaharu, Tras turut memperkenalkan ciri Semakan Kelayakan yang membolehkan pengguna mendapatkan gambaran awal mengenai jumlah pembiayaan yang mungkin layak diterima dan anggaran bayaran bulanan berdasarkan maklumat permohonan.

Kazrin berkata, ciri itu amat berguna kepada pembeli yang masih tidak pasti mengenai tahap kelayakan mereka.

“Sebagai contoh, jika seseorang menyasarkan pembiayaan RM100,000 tetapi hanya layak mendapat RM90,000, dia sudah tahu lebih awal sama ada perlu menyediakan wang pendahuluan tambahan atau mungkin memilih model kenderaan lain sebelum me­langkah masuk ke bilik pameran.

“Permohonan menerusi Tras juga secara konsisten memberikan kadar faedah yang kompetitif, malah adakalanya lebih baik berbanding memohon terus kepada pihak bank.

“Ini menunjukkan permohonan yang lebih tersusun dan dipadankan dengan kemampuan pelanggan memberi hasil yang lebih baik,” katanya.

Selain pembiayaan, Tras turut menawarkan Program Waranti Lanjutan (EWP) yang memberi perlindungan tambahan kepada ken­deraan, sama ada yang masih dalam tempoh waranti pengeluar mahupun yang telah tamat waranti.

EWP kini ditawarkan dalam tiga pilihan: EWP Dalam Waranti, EWP Luar Waranti dan EWP EV. Bagi kereta EV, perlindungan turut me­rangkumi komponen bateri, sekali gus menangani antara kebimbangan utama pengguna berkaitan kos pembaikan dan ketahanan bateri selepas tempoh waranti asal.

Buat masa ini, EWP Tras dibuka kepada kenderaan jenama di bawah EON, dengan harga bermula se­rendah RM788 dan ia menawarkan perlindungan bagi 15 komponen utama kenderaan selepas tamatnya tempoh waranti pengeluar.

Kazrin berkata, langkah sete­rusnya adalah memperluaskan kerjasama dengan pengedar di luar ekosistem EON yang merupakan rakan pengedar utama dan pertama Tras, selain membangunkan lebih banyak produk kewangan dan perkhidmatan berkaitan pemilikan kenderaan.

“Matlamat kami adalah untuk menjadi satu tempat yang boleh membantu pelanggan sepanjang perjalanan pemilikan kereta, daripada pembelian dan pembiayaan kepada perlindungan serta pengurusan risiko.

“Pada akhirnya, kami bukan sekadar mahu membantu pelanggan membeli kereta, malah ­menyokong mereka dalam membuat keputusan yang betul berdasarkan kemampuan,” katanya.

Tras dilancarkan pada September 2025 dengan tiga rakan bank iaitu Bank Muamalat, Maybank dan AmBank.

Visi platform itu adalah untuk menjadi rakan dipercayai dalam penyelesaian kewangan automotif, manakala misinya memudahkan pembiayaan dengan menyediakan alat yang membantu pelanggan dan rakan niaga membuat keputusan lebih bijak. -KOSMO! ONLINE

The post Pemilikan kenderaan lebih mudah dengan perancangan kewangan bijak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved