
PETALING JAYA – Pengenalan kad kredit asas dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan kewangan mereka.
Kad kredit asas menawarkan kadar pembiayaan 14 peratus, selain mengenakan faedah tidak dikompaun serta tidak disertakan ciri ganjaran dan keistimewaan premium seperti yang lazimnya ditawarkan menerusi kad kredit konvensional.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr. Norhana Endut berkata, pilihan pengguna merupakan antara elemen penting dalam memastikan sistem kewangan berfungsi dengan baik, dengan perlindungan serta penilaian kemampuan membayar yang kukuh perlu seiring dengan akses kepada pembiayaan.
Menurutnya, produk kewangan yang sesuai dengan keperluan pengguna, selain penggunaan kredit secara bertanggungjawab, penting bagi memastikan hasil kewangan yang baik dapat dicapai secara mampan.
“Perlindungan yang sewajarnya, termasuk penilaian kemampuan membayar yang kukuh, membantu memastikan akses kepada pembiayaan kekal bertanggungjawab dan mampan.
“Pada akhirnya, hasil kewangan yang baik bergantung kepada produk yang sesuai dengan keperluan pengguna serta penggunaan kredit secara berhemah,” katanya.
Pengenalan kad kredit asas oleh beberapa institusi perbankan di Malaysia dilihat memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, khususnya mereka yang mengutamakan kos pembiayaan lebih rendah dan struktur produk yang lebih mudah.
CIMB Islamic dan Maybank Islamic misalnya, telah melancarkan kad kredit patuh syariah dengan kadar keuntungan tetap 14 peratus setahun semalam, lebih rendah berbanding kadar industri semasa dengan tiada pengkompaunan pada caj keuntungan.
Kedua-duanya menawarkan struktur lebih ringkas buat pengguna yang tidak memerlukan ciri tambahan seperti ganjaran perjalanan, pulangan tunai atau keistimewaan gaya hidup.
Menjelang November ini, sebanyak sembilan bank yang mewakili kira-kira 62 peratus bahagian pasaran kad kredit dijangka menawarkan kad kredit asas, sekali gus memberikan liputan lebih meluas kepada pengguna.
Pengenalannya tidak bertujuan menggantikan kad kredit sedia ada, sebaliknya memberi alternatif kepada pengguna berdasarkan keperluan, corak perbelanjaan dan keadaan kewangan masing-masing. – KOSMO! ONLINE
The post Kad kredit asas tawar kos lebih rendah appeared first on Kosmo Online.






