
KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Terengganu, Chan Chee How, 51, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bagi mewakili masyarakat bukan Islam di negeri ini, hari ini.
Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah selepas pelantikannya diluluskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini.
Terdahulu, usul pemilihan Chee How dikemukakan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan mendapat persetujuan dalam persidangan berkenaan.
Pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan Fasal XXVII (2) atau Perkara 27(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang membolehkan wakil masyarakat bukan Islam dilantik menganggotai DUN sekiranya golongan berkenaan tidak mempunyai wakil yang dipilih.
Menerusi pelantikan itu, masyarakat bukan Islam di Terengganu mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan, keperluan serta kepentingan mereka secara langsung dalam persidangan DUN.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pelantikan berkenaan ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) DUN Ayer Keroh, Melaka, minggu lalu.
Beliau berkata, langkah itu dibuat berdasarkan peruntukan dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang membolehkan pelantikan wakil daripada golongan, kaum atau jantina yang tidak mempunyai perwakilan dalam DUN.
Chee How yang dilahirkan pada 27 Jun 1975 dan menetap di Cukai, Kemaman merupakan ahli perniagaan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian.
Beliau turut berpengalaman dalam bidang pengurusan syarikat dan jualan selain pernah berkhidmat sebagai Pengurus Perhubungan Awam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 10 dari 2022 hingga 2025. – UTUSAN
The post Pemimpin Gerakan angkat sumpah sebagai ADUN lantikan Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.





![[VIDEO] Timbalan Speaker ‘pindah kerusi’ jarang berlaku!](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-16-at-2.58.02-PM-1024x681.jpeg)
