
PENAMPANG: Pemimpin komuniti dari pelbagai kampung di Penampang bulan lalu melengkapkan latihan intensif pengurusan risiko bencana banjir, sekali gus membuka laluan untuk pengetahuan itu disampaikan kepada penduduk di peringkat akar umbi, dengan Kampung Kolopis sebagai perintis.
Program Latihan Pengurusan Risiko Bencana Banjir Berasaskan Komuniti (CBDRM) itu diadakan pada 3 dan 4 Sept di Kamagi Riverside Moyog, di sini.
Program menghimpunkan 57 peserta termasuk 41 pemimpin komuniti yang mewakili 10 kampung iaitu Tanaki, Nampasan, Maang, Ramayah, Inobong, Sarapung, Penampang Proper, Nambazan, Kibabaig dan Kolopis.
Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Norhidayah Danial berkata latihan pertama itu khusus untuk pemimpin komuniti.
“Mereka kini bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengajar komuniti masing-masing supaya komuniti mereka juga siap siaga menghadapi banjir,” katanya.
Sesi latihan di Kamagi dikendalikan lima jurulatih daripada Kor i-Bantu Yayasan Ikram Malaysia yang membimbing peserta menerusi kurikulum komprehensif bagi meningkatkan kesiapsiagaan komuniti menghadapi banjir bermusim.
Kor i-Bantu ialah kor sukarelawan di bawah Yayasan Ikram Malaysia yang komited menyediakan bantuan kemanusiaan secara terkoordinasi.
Peserta turut mengikuti modul teori dan praktikal yang bertujuan membekalkan kemahiran penting dalam tindak balas dan mitigasi bencana.
Antara aktiviti dan topik utama ialah: Pengenalan kepada kerangka kerja dan prinsip CBDRM; Komunikasi bencana melalui platform MyDIMS. MyDIMS ialah platform dalam talian yang memudahkan pengurusan bencana daripada amaran awal hingga pemulihan melalui alat seperti portal bencana, aplikasi mudah alih dan pusat arahan; Operasi dron praktikal dan teknik pemantauan; Taklimat mengenai Arahan Nadma No. 1; Pemerhatian tapak dan latihan kolaboratif pemetaan risiko komuniti; Aplikasi pertolongan cemas asas; serta Pembangunan dan pembentangan pelan tindakan bencana komuniti yang disesuaikan.Menurut penganjur, program itu mencapai sasaran utama apabila peserta berjaya menghasilkan peta risiko dan membentangkan pelan keselamatan yang boleh dilaksanakan.
Dr Norhidayah berkata susulan bengkel September lalu, penganjur kini mengumumkan inisiatif perintis yang dijadualkan pada 9 Okt di Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul Kolopis.
Pada program itu, sesi CBDRM akan disampaikan kepada peserta di peringkat akar umbi, termasuk ceramah berkaitan pemetaan kawasan berisiko banjir, pembentangan pelan risiko banjir, sistem amaran rasmi banjir dan tindakan awal.
Sebagai pendekatan pertama seumpamanya, pemimpin komuniti yang dilatih akan mengambil peranan melatih penduduk mereka sendiri secara langsung, bermula dengan komuniti Kampung Kolopis.
Model “latih jurulatih” itu akan dilaksanakan secara berperingkat di kampung lain yang mengambil bahagian di seluruh Penampang bagi memastikan pengetahuan di peringkat akar umbi diterjemahkan kepada kesiapsiagaan yang lebih meluas menjelang kemungkinan kejadian banjir.
Inisiatif itu dianjurkan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kor i-Bantu Yayasan Ikram Malaysia, dengan kerjasama Pertubuhan Ikram Negeri Sabah, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Majlis Perbandaran Penampang (MPP), UPPM Moyog dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kota Kinabalu.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Soboong-Boliga Bonny Benjamin yang menghadiri program itu berkata latihan berkenaan amat berguna bukan sahaja kepada dirinya sebagai pemimpin komuniti, malah kepada penduduk yang akan diajar cara mengendalikan situasi ketika berdepan banjir.
“Rumah saya juga dinaiki air setiap kali hujan lebat. Apa sahaja yang saya pelajari hari ini boleh saya aplikasikan dalam mempersiapkan diri menghadapi bencana alam tersebut dan menyebarkan pengetahuan itu kepada orang lain. Ia sangat berguna, informatif dan praktikal.
“Saya amat bersyukur kerana kami sebagai pemimpin menjadi barisan hadapan yang menerima latihan ini,” katanya.





