
GOTHENBURG: Pengurus Manchester United, Michael Carrick mengakui pihaknya perlu lebih berhati-hati dengan Mason Mount selepas pemain tengah England itu cedera ketika membantu pasukannya seri 1-1 dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi persahabatan, kelmarin.
Mount, 27, yang menyertai United dari Chelsea pada 2023, sekali lagi berdepan masalah kecederaan apabila terpaksa meninggalkan padang kurang 20 minit selepas diturunkan menentang PSG.
Pemain tengah itu dipercayai mengalami kecederaan pada kaki sebelum berbincang dengan barisan kejurulatihan di tepi padang dan akhirnya digantikan Tyler Fletcher.
“Dia terkena tendangan. Kami cuma mahu berhati-hati dan memastikan dia berada dalam keadaan baik.
“Kami bernasib baik kerana setakat ini tidak berdepan banyak masalah kecederaan, jadi kami mahu terus berhati-hati,” kata Carrick.
Bagaimanapun, rakaman selepas perlawanan menunjukkan Mount masih mampu berjalan menaiki bas pasukan tanpa memakai pelindung lutut atau kasut khas bagi kecederaan.
United ketinggalan seawal minit kedua selepas Ibrahim Mbaye meletakkan PSG di depan, biarpun juara Eropah itu tidak menurunkan sebahagian besar pemain bintang mereka.
Namun, United bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi Bryan Mbeumo selepas Amad Diallo memenangi semula penguasaan bola sebelum membantu mencipta peluang berkenaan.
United masih mempunyai dua aksi persahabatan menentang Leeds dan AC Milan sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris. – AFP
The post Man. United bimbang kecederaan pemain appeared first on Utusan Malaysia.





