Pempengaruh Dilapor Hilang, Panggilan Ke Telefon Dijawab Lelaki Indonesia

28 Jul 2024 • 8:19 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Muhammad Zaki Omar antara individu yang lantang menentang pemberian vaksin.

KUALA LUMPUR - Seorang pempengaruh, Muhammad Zaki Omar dilaporkan ‘hilang’ sejak semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, peguam Asiah Jalil berkata, lelaki itu dikatakan meninggalkan rumah pada jam 3 petang untuk bertemu seseorang.

Menurut beliau, pertemuan bersama individu tidak dikenali itu dikatakan diadakan di Bertam, Pulau Pinang.

“En (Encik) Zaki masih tidak pulang ke rumah sehingga pagi ini. Langsung tidak hubungi keluarga.

“Ini bukan En. Zaki. Dia sentiasa on live location bila keluar rumah, untuk tujuan keselamatan dan supaya isterinya, Masyitah Md Hassan tahu di mana dia berada,” katanya.

Jelas Asiah, lokasi terakhir mengikut carian telefon yang dibuat ialah di stesen minyak Petronas Sungai Dua. 

“Bila isterinya ke situ, tiada kelibat En. Zaki atau motosikalnya. Kali terakhir En. Zaki dapat dihubungi pada jam 10 malam semalam. Orang Indonesia angkat telefon. Kata lelaki tersebut, itu nombor telefonnya,” katanya.

Lebih membimbangkan jelas Asiah, panggilan yang dibuat beberapa kali ke nombor berkenaan tetap dijawab lelaki sama, sebelum talian akhirnya dimatikan.

“Bila Puan Masyitah desak dan tanya, di mana En. Zaki, orang Indonesia tersebut matikan telefon. Sehingga sekarang talian tersebut tidak dapat dihubungi,” katanya.

Beliau memberitahu, laporan polis berkenaan orang hilang akan dibuat oleh Masyitah pagi ini.

“Bantu sebarkan. Bantu cari En. Zaki Omar. Kami semua risaukan keselamatannya,” katanya.

Sekadar info, Muhammad Zaki dan isterinya adalah antara individu yang lantang menentang pemberian vaksin, termasuk ketika kemuncak ancaman COVID-19 di Malaysia.

Beliau juga adalah antara penyokong kuat pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang kini berdepan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down. - Getaran, 28 Julai 2024