Pempengaruh media sosial didenda RM2,000 tumbuk pekerja restoran OKU

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nalinee Kothandabani. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang pempengaruh media sosial didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa selepas mengaku bersalah menumbuk seorang pekerja restoran makanan segera yang juga orang kurang upaya (OKU), tahun lepas.

Majistret Amira Sariaty Zainal menjatuhkan hukuman itu ke atas Nalinee Kothandabani, 41, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Ibu kepada tiga anak dan bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rani Arumugam, 45, dengan menumbuk wanita itu di sebuah restoran makanan segera di Serdang Raya, Seri Kembangan dekat sini pada jam 4 petang, 8 Disember 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman manakala Nalinee diwakili peguam, G Devaneson dan peguam Lavendran Nair hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, mangsa mengalami lebam di pipi kiri dan bibir akibat kejadian itu. - Bernama