
KOTA BHARU – Pempengaruh media sosial terkenal, Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, meninggal dunia awal pagi tadi di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta, Indonesia, selepas lebih seminggu ditidurkan akibat serangan jantung.
Disahkan Anak Ketiga
Berita pemergian beliau disahkan oleh anak ketiganya, Hafizul Fazli, 30, yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.38 pagi waktu Indonesia, di sisi isteri tercinta, Asiah Abdullah, 55, dan dirinya sendiri.
“Jenazah ayah akan dibawa pulang ke Kampung Wakaf Zing, Jeli dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam berdekatan rumah.
Kami kini sedang menguruskan proses membawa pulang jenazah dan insya-Allah akan tiba di kampung hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Dirawat Sejak 5 Oktober
Memetik laporan Berita Harian, Allahyarham yang juga kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli) dilaporkan diserang sakit jantung ketika berada di Jogjakarta sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Rumah Sakit Sardjito sejak 5 Oktober lalu.
Rakan dan Netizen Ucap Takziah
Pemergian beliau turut dirasai ramai pengikut dan rakan-rakan di media sosial. Menerusi perkongsian seorang pengguna TikTok, @nina_rosdi, beliau menzahirkan rasa sedih atas kehilangan figura disegani itu.
“Innalillahiwainnailaihirojiun, semoga arwah bos @RamboCastello ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Arwah seorang yang sangat sense of humour, sporting dan humble,” tulisnya di TikTok bersama tanda pagar #pokcikrambo.
Cikgu Li dikenali ramai kerana keperibadiannya yang merendah diri serta gaya penyampaian yang santai dan menghiburkan, menjadikan beliau antara pempengaruh berpengaruh dalam kalangan warga pendidikan dan masyarakat setempat.
Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan dicucuri rahmat-Nya. – The Malaysian Update
The post Pempengaruh Media Sosial, Rambo Castello Meninggal Dunia di Indonesia appeared first on The Malaysian Update.



