Pempengaruh Media Sosial Tok Mie @ Mr Wong Meninggal Dunia Akibat Sakit Jantung

LocalHealth & Fitness
11 Jan 2026 • 7:02 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Dunia media sosial dikejutkan dengan berita pemergian seorang pempengaruh terkenal, Tok Mie atau nama sebenarnya Mohammad Shohaimi bin Mohamed Amin, yang dikenali ramai menerusi watak popular Mr Wong.

Berita sedih itu mula tular di Facebook dan TikTok apabila ramai pengguna media sosial berkongsi perkongsian mendakwa pempengaruh berkenaan telah meninggal dunia sekitar jam 7 malam tadi di Hospital Kuala Lumpur, dipercayai akibat masalah jantung.

Allahyarham yang menetap di Kampung Sungai Mulia, Jalan Gombak, disahkan meninggal dunia oleh isterinya yang dikenali sebagai Kak Ros, selain turut dikongsikan oleh rakan artis serta rakan media sosial terdekat.

Pemergian Tok Mie nyata mengejutkan ramai peminat, memandangkan arwah aktif menghasilkan kandungan hiburan, motivasi serta perkongsian santai bersama isterinya, termasuk video-video memancing yang menjadi kegemaran pengikut setia.

Aktif Berkongsi Kandungan Hingga Ke Hari Terakhir

Sebelum ini, Tok Mie kerap tampil dalam video bersama isterinya dengan membawakan watak Mr Wong yang mencuit hati, selain dikenali dalam komuniti pemancing tanah air.

Menjengah ke akaun TikTok rasmi @tokmiewong, didapati video terakhir yang dimuat naik adalah enam hari lalu, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan pengikut apabila menonton semula kandungan berkenaan.

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dan dukacita atas pemergian arwah.

“Saya terkejut betul. Salam takziah buat Kak Ros sekeluarga. Al-Fatihah buat arwah,” tulis @IsKandar.

Seorang lagi pengguna, @Kesatuan Duda Bersatu Malaysia, turut berkongsi kata-kata terakhir arwah yang menyentuh hati, “Insya-Allah kita jumpa kat sana ya.”

Sementara itu, @PakDuanBosan menyifatkan video terakhir arwah sebagai satu pengakhiran yang baik.

“Video terakhir mengajak ke arah kebaikan, mencari dan mengenal Tuhan. Betullah kata orang, lihatlah pengakhiran seseorang itu,” tulisnya.

Pemergian Tok Mie turut diratapi rakan-rakan dalam dunia memancing. Akaun TikTok @bob.azha.king menulis ucapan takziah sambil mengenang arwah sebagai seorang yang sentiasa menghiburkan menerusi kandungan memancing, manakala Umpan A1 Shop Fishing (@umpanpacak) turut memuat naik video dengan kapsyen Al-Fatihah buat sahabat pemancingan kami.

Sehingga kini, tiada maklumat lanjut dikongsikan berhubung urusan pengebumian.

Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Mohammad Shohaimi bin Mohamed Amin dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. – The Malaysian Update

The post Pempengaruh Media Sosial Tok Mie @ Mr Wong Meninggal Dunia Akibat Sakit Jantung appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article