JOHOR BAHRU - Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh yang menggunakan perkataan ‘bodoh’ bagi mengkritik cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung isu darurat, mengundang teguran daripada Pemuda Amanah.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, Muhammad Akmal dianggap sebagai ikon anak muda tidak sewajarnya menggunakan perkataan itu.
"Cantik betul bahasa kamu. Inikah konon ikon anak muda UMNO. Menyebut perkataan bodoh tanpa segan ataupun silu.
"Mungkin kamu lupa waktu (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin) umum darurat dan tutup Parlimen ketika itu parti kamu duduk bersama dalam kerajaan tebuk atap itu.
"Dua menteri kanan di bawah Muhyiddin itu, Naib Presiden parti kamu. Kamu yang bodoh atau siapa yang bodoh," soalnya dalam kenyataan pada Khamis.
Fadhli Umar turut membangkitkan isu berkaitan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mendakwa tiada darurat diisytiharkan walaupun terbongkar segala kisah kleptokrasinya.
"Ya memang bukan darurat yang diumum tapi apa saja tindakan intimidasi yang tidak dibuat bagi mengekalkan kuasa?
"Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditukar, Peguam Negara ditukar, Gabenor Bank Negara ditukar, parti lawan kamu dihenyak dan dilarang untuk menggunakan logo parti sendiri, bahkan Timbalan Presiden kamu sendiri kamu tukar dan buang.
"Maka yang bodoh itu kamu atau siapa? Akmal, Akmal, jangan cepat bodohkan orang lain jika kamu sendiri tak mampu fikir," bidasnya lagi.
Sebelum itu pada Rabu, Dr Muhammad Akmal membidas cadangan Khoo Poay yang menyarankan kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya negeri (PRN).
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mempersoalkan cadangan tersebut dengan menyatakan bahawa negara pernah berdepan krisis ekonomi sebelum ini tanpa perlu mengisytiharkan darurat
Terdahulu, Poay Tiong menerusi sebuah portal berita mencadangkan agar kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat sebagai langkah menangguhkan pilihan raya negeri.
Beliau berkata, ketika ini keadaan negara dlihat tidak stabil kerana dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.



