
KUALA LUMPUR – Seorang pemuda warga Medan, Indonesia tampil memohon maaf selepas videonya yang didakwa mengganggu pejalan kaki di kawasan Bukit Bintang, di sini, tular di media sosial.
Menerusi satu rakaman video yang tular, kelihatan pemuda berkenaan, Aditya Krisna, berlari di lintasan pejalan kaki sambil menghayun bungkusan kain seolah-olah mencabar pejalan kaki lain.
Rakannya yang merakam turut kedengaran berkata:
“Tak ada yang berani orang ini, gaduh pun tak main kan, tak berani, lemah betul.”
Aksi itu segera mengundang kritikan netizen dari kedua-dua negara. Ramai beranggapan ia sebagai tingkah laku kurang sopan, apatah lagi dilakukan ketika melancong.
“Indonesia ramai influencer tapi nak didik warganegara sendiri bila travel pun susah. Influencer tolong educate WNI bila di negara orang,” komen seorang pengguna dari Malaysia.
Video itu menggambarkan seolah-olah Aditya cuba mengajak ‘tawuran’ (istilah Indonesia bermaksud pergaduhan jalanan beramai-ramai) dengan pejalan kaki lain.
Tampil Mohon Maaf
Menjawab kecaman tersebut, Aditya tampil menjelaskan bahawa video itu hanyalah gurauan dan tidak berniat menghina sesiapa.
“Saya minta maaf kalau ada yang tidak menyenangkan bagi warga Malaysia mahupun Indonesia. Saya tidak ada niat jahat, hanya sekadar hiburan,” katanya kepada detikSumut.
Beliau turut memaklumkan rakaman itu dibuat ketika bercuti di Malaysia sambil melawat saudara yang tinggal di sini.
Pengajaran
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan buat influencer luar agar lebih berhati-hati dan berhemah ketika menghasilkan kandungan di Malaysia, supaya tidak menimbulkan salah faham mahupun mengundang kecaman masyarakat. – The Malaysian Update
The post Pemuda Medan Mohon Maaf, Video Ajak ‘Tawuran’ di Bukit Bintang Tular appeared first on The Malaysian Update.





