Pemuda Non-Muslim Ikut Solat Jumaat Tidak Langgar Hukum Syarak – Dr Izhar Ariff

LocalPolitics
28 Nov 2024 • 12:05 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Aksi seorang lelaki bukan Islam berbangsa Cina yang berkongsi pengalaman ketika pertama kali menyertai rakan-rakannya menunaikan Solat Jumaat telah menjadi perhatian masyarakat di media sosial.

Selain mengikuti cara rakan-rakannya mengambil wuduk, pemuda ini juga meniru langkah-langkah solat yang dilakukan oleh rakannya satu per satu.

Usai selesai Solat Jumaat, lelaki tersebut memberitahu bahawa pengalaman pertama kali itu adalah sesuatu yang mengagumkan dan bercadang untuk mengikuti rakan-rakannya lagi.


Tiada Larangan Khusus Untuk Non-Muslim Ikut Solat Di Masjid

Terbaharu, Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah yang juga Timbalan Dekan Industri, Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff juga antara salah seorang yang menonton video tular berkenaan.

Jelas beliau dalam laporan Harian Metro, tiada larangan khusus bagi golongan bukan Islam untuk masuk ke dalam masjid bagi mempelajari tentang solat selagi mana mereka menjaga adab serta akhlak.

Walau bagaimanapun, hanya Masjidil Haram, Makkah sahaja yang tidak boleh dimasuki oleh golongan bukan beragama Islam.

Tambah Dr Mohd Izhar, perkara itu juga dijelaskan oleh Imam Nawawi daripada mazhab Shafie menerusi kitab Raudhat al-Takibin.

image is not available
Sumber: TikTok @babyjonnn

Malah, beliau berpendapat tiada sebarang aksi menghina Islam dilakukan oleh pemuda berbangsa Cina itu ketika berada di tempat beribadah tersebut.

“Berdasarkan rakaman video itu, ia tidak menunjukkan pemuda berkenaan memperlekehkan syariat Islam sebaliknya dia datang nak tengok suasana orang Islam solat berjemaah.

“Dia (pemuda) pun masuk masjid dengan beradab apabila buka stoking dan kasut, kemudiannya basuh muka seakan-akan berwuduk.

“Mungkin usaha rakannya mengajak pemuda itu akan membuka ruang untuknya mengenali Islam dengan lebih dekat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Bagaimana Dengan Status Solat Jumaat Berjemaah Tersebut?

image is not available
Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Jelas Mohd Izhar lagi, aksi solat yang ditiru oleh lelaki itu ketika melihat rakan-rakannya juga tidak menjadi masalah kerana ia berkemungkinan boleh menjadi titik permulaan kepada seseorang untuk memeluk Islam.

Berkata tentang status solat Jumaat secara berjemaah itu pula, Mohd Izhar menjelaskan bahawa statusnya masih sah bagi jemaah lain walaupun pemuda itu berada di dalam saf dan duduk di antara dua orang Islam.

“Solat Jumaat itu sah, yang tak sah hanya untuk pemuda berkenaan kerana secara zahirnya dia belum lagi Muslim ketika dia menunaikan solat,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, pensyarah ini berpendapat bahawa pemuda berkenaan lebih baik berada di bahagian paling hujung bagi mengelakkan berlakunya putus saf.

“Putus saf pun tidak menyebabkan solat batal cuma sepatutnya pemuda itu diletakkan di bahagian tepi dinding. Tapi kita tak tahu mungkin dia sudah mengucap dan Islam ketika itu.”

Source: