Pemuda Pas buat laporan polis seluruh negara, pertahan titah Sultan Selangor

LocalPolitics
8 May 2026 • 7:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemuda Pas buat laporan polis seluruh negara, pertahan titah Sultan Selangor
Afnan Hamimi

SHAH ALAM – Pemuda Pas akan membuat laporan polis di seluruh negara susulan kenyataan balas Majlis Eksekutif Kebangsaan Sosialis Muda DAP (DAPSY) berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu penternakan babi di negeri tersebut.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya tidak akan berganjak dalam mempertahankan titah Sultan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mempersendakan perkara itu.

"Kami juga tidak akan berganjak untuk pertahankan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor!

"Kalau mahu lihat kebangkitan anak muda pertahankan titah Tuanku, silakan.

"Orang yang derhaka kepada titah Tuanku tidak wajar dibiarkan terus berkuasa, dengan ini, Pemuda Pas akan buat laporan Polis di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, DAPSY membidas tindakan Afnan yang mengancam untuk membuat laporan polis di seluruh negara sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak memohon maaf berhubung isu ladang ternakan babi.

Dalam kenyataan balas itu, DAPSY menegaskan mereka tidak gentar dengan ugutan berkenaan malah menuntut Afnan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan oportunistik serta berpotensi menghasut kebencian.