SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyatakan kesediaan untuk menggerakkan himpunan besar-besaran bagi mempertahankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan dakwaan penghinaan terhadap institusi diraja.
Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya kini berada dalam keadaan siap siaga untuk menganjurkan himpunan berkenaan.
Menurutnya, tindakan mana-mana pihak yang didakwa bersikap biadab terhadap Sultan Selangor tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberikan pengajaran.
"Pemuda Pas Selangor siap siaga Himpunan Mempertahankan DYMM Tuanku Sultan Selangor, tunggu tarikhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau turut mengajak rakyat khususnya penyokong parti itu untuk bersedia hadir menyertai himpunan berkenaan apabila tarikh rasmi diumumkan kelak.
Hantaran itu dipercayai dibuat susulan polemik berkaitan isu penternakan babi di Selangor yang mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Istana Selangor.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Sultan Selangor kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.






