Pemuda Pas gesa KPM jelas rasional mansuh syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemuda Pas gesa KPM jelas rasional mansuh syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera
Pemuda Pas gesa KPM menjelaskan rasional pemansuhan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan IPS di bawah kementerian itu. Foto hiasan

SHAH ALAM – Pemuda Pas menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan rasional sebenar serta membentangkan pelan alternatif susulan pemansuhan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) di bawah kementerian itu.

Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda Pas, Mohammad Kamal Mohamed berkata, kenyataan KPM bahawa keputusan tersebut dipersetujui selepas perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut menimbulkan persoalan.

Menurut beliau, percanggahan kenyataan antara kedua-dua kementerian itu memberikan gambaran bahawa keputusan berkenaan dibuat tanpa penelitian menyeluruh.

“Pemuda Pas ingin menegaskan bahawa sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan Bumiputera perlu diuruskan melalui proses libat urus yang menyeluruh.

“Ia tidak boleh dilaksanakan tanpa proses yang betul hanya dengan mengambil kira pandangan beberapa pihak semata-mata.

“Apatah lagi apabila wujud percanggahan kenyataan antara kementerian yang memberikan gambaran negatif terhadap proses membuat keputusan dan penyelarasan dasar di bawah Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi diwajibkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian tersebut.

Menurut kenyataan KPM pada Isnin, keputusan berkenaan dicapai selepas sesi perbincangan dengan MITI.

Bagaimanapun, MITI kemudiannya menjelaskan bahawa kementerian itu tidak terlibat dalam perbincangan mengenai pemansuhan syarat ekuiti Bumiputera tersebut.

MITI turut memaklumkan bahawa dasar pemilikan ekuiti Bumiputera bukan berada di bawah bidang kuasanya, sebaliknya terletak di bawah tanggungjawab Menteri Ekonomi.

Mengulas lanjut, Mohammad Kamal berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan yang lebih menyeluruh berhubung rasional pemansuhan syarat pegangan ekuiti tersebut.

Menurutnya, KPM juga perlu tampil dengan pelan tindakan alternatif bagi memperkukuh kepentingan Bumiputera selepas dasar itu dimansuhkan.

“Malah, KPM wajar bertanggungjawab mengemukakan langkah-langkah yang akan diambil untuk terus memperkasakan kepentingan Bumiputera susulan pemansuhan syarat ekuiti tersebut.

“KPM tidak seharusnya memandang ringan perkara ini atau bersikap acuh tak acuh terhadap implikasi dasar yang dibuat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved