SHAH ALAM – Srikandi Keadilan membidas Ketua Penerangan Puteri UMNO, Nooryana Najwa Najib berhubung kenyataannya yang mempersoalkan perubahan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS).
Ketua Srikandi Keadilan, Nurhidayah Che Rose berkata, rekod pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu dinilai sebelum mempertikaikan perubahan dasar yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Menurut beliau, Nooryana berhak mengkritik Kerajaan Madani, namun tidak wajar menjadikan isu ekuiti sebagai bahan serangan terpilih sambil mengetepikan rekod pentadbiran terdahulu.
“Jika liberalisasi ketika pentadbiran Najib boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada perubahan dasar ekonomi, mengapa perubahan syarat ekuiti hari ini terus dijadikan modal untuk menyerang kerajaan?
“Itulah persoalan mengenai konsistensi yang perlu dijawab oleh Nooryana,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Nooryana menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan mengapa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dikaitkan dengan penyelarasan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta.
Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelaskan susulan MITI dilaporkan menegaskan bahawa kementerian berkenaan tidak terlibat dalam penentuan dasar tersebut.
Menurutnya, isu yang melibatkan kepentingan serta penyertaan ekonomi Bumiputera bukanlah perkara kecil dan perlu ditangani dengan telus.
Mengulas lanjut, Nurhidayah berkata, beberapa langkah liberalisasi turut dilaksanakan ketika pentadbiran Najib melibatkan sektor perkhidmatan dan pendidikan.
“Pada April 2009, ketika Najib menjadi Perdana Menteri, kerajaan mengumumkan liberalisasi terhadap 27 subsektor perkhidmatan tanpa syarat ekuiti.
“Tiga tahun kemudian, liberalisasi itu diperluaskan kepada beberapa subsektor pendidikan.
“Pada 2012, pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dibenarkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah teknikal dan vokasional tertentu serta universiti swasta,” katanya.
Menurut beliau, fakta tersebut menunjukkan perubahan dasar berkaitan ekuiti bukan perkara baharu dan pernah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu mengikut keperluan ekonomi semasa.






