SHAH ALAM – Pemuda Pas akan menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis sebagai tanda komitmen terhadap usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua parti Melayu itu.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kehadiran tersebut adalah bagi membalas jemputan yang diberikan oleh sayap Pemuda UMNO selepas wakil mereka menghadiri Muktamar Pas minggu lalu.
Menurut beliau, langkah itu mencerminkan kesediaan kedua-dua pihak untuk meneruskan hubungan yang lebih baik demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.
“Hari itu kita jemput ke muktamar, mereka datang. Kali ini mereka jemput ke PAU (Perhimpunan Agung UMNO), kita pergi.
“Demi penyatuan, kami hadir!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menyambut baik kehadiran delegasi Pemuda Pas ke perhimpunan berkenaan.
“Jumpa esok brother,” balas Akmal menerusi ruangan komen hantaran tersebut.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi isyarat keterbukaan hubungan antara kedua-dua sayap pemuda parti, susulan kehadiran wakil Pemuda UMNO ke Muktamar Pas yang berlangsung minggu lalu.
Pemerhati politik berpendapat interaksi sedemikian berpotensi membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas mengenai kerjasama politik, khususnya dalam landskap politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).






