Pemulihan permintaan pelanggan lonjak untung Unisem kepada RM30.73 juta, umum dividen interim 1 sen

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 3:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemulihan permintaan pelanggan lonjak untung Unisem kepada RM30.73 juta, umum dividen interim 1 sen Image from: Pemulihan permintaan pelanggan lonjak untung Unisem kepada RM30.73 juta, umum dividen interim 1 sen hamden06/11/2026 - 15:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - Unisem (M) Bhd menjangkakan pemulihan berterusan permintaan pelanggan dan peningkatan penggunaan kapasiti pengeluaran akan menyokong prestasi kumpulan bagi baki tahun kewangan 2026 (FY2026), selepas mencatatkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 59% pada suku ketiga.

 

Penyedia perkhidmatan pemasangan dan pengujian semikonduktor itu merekodkan keuntungan bersih RM30.73 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), berbanding RM19.38 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu didorong jumlah jualan lebih tinggi serta pertumbuhan pendapatan operasi lain, mencerminkan pemulihan prestasi operasi kumpulan.

 

Hasil Unisem turut meningkat 23% kepada RM607.66 juta berbanding RM492.74 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan operasi lain melonjak 55% kepada RM13.74 juta.

 

Keuntungan kasar pula meningkat 38% tahun ke tahun kepada RM62.18 juta, dengan margin kasar berkembang kepada 10.23% berbanding 9.12% sebelumnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Unisem mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak satu sen sesaham bagi FY2026, yang akan dibayar pada 8 Disember 2026.

 

Prestasi 9M masih tertekan

Bagaimanapun, prestasi terkumpul sembilan bulan masih mencatatkan tekanan apabila keuntungan bersih bagi tempoh berakhir 30 September 2026 (9MFY2026) merosot 21% kepada RM27.28 juta berbanding RM34.52 juta setahun sebelumnya.

 

Penurunan itu berlaku walaupun hasil meningkat 18% kepada RM1.64 bilion daripada RM1.39 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu mengaitkan kemerosotan keuntungan berkenaan dengan pergerakan kadar pertukaran asing dan kos operasi lebih tinggi, meskipun prestasi jualan bertambah baik.

 

Unisem menyediakan perkhidmatan pemasangan dan pengujian semikonduktor, termasuk pembungkusan serta pengujian cip litar bersepadu untuk syarikat elektronik.

 

Mengulas prospek, kumpulan itu menjangkakan pemulihan berterusan permintaan pelanggan serta peningkatan kadar penggunaan kapasiti terpasang di seluruh operasinya akan menjadi pemacu prestasi bagi baki tahun kewangan.

 

Bagaimanapun, saham Unisem baru-baru ini berdepan tekanan susulan penjualan besar-besaran saham teknologi dan semikonduktor di peringkat global, selepas pasaran Wall Street mencatatkan penurunan mendadak. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved