Zetrix AI batalkan dividen ketika saham menjunam hampir 67% sejak awal Oktober

Business & Finance
19 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI batalkan dividen ketika saham menjunam hampir 67% sejak awal Oktober Image from: Zetrix AI batalkan dividen ketika saham menjunam hampir 67% sejak awal Oktober johardy19/10/2026 - 10:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt - Zetrix AI Berhad membatalkan pembayaran dividen interim pertama sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 untuk mengekalkan modal kerja syarikat susulan perbelanjaan operasi yang tidak dijangka.

 

Lembaga pengarah Zetrix AI memutuskan untuk menarik balik pengisytiharan dividen yang diumumkan pada 24 Ogos lalu, menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

"Lembaga pengarah kesal untuk mengumumkan bahawa ia telah memutuskan untuk menarik balik dividen interim berkenaan," menurut pengumuman itu.

 

Syarikat menjelaskan keputusan tersebut bertujuan mengekalkan modal kerja berikutan perbelanjaan operasi yang tidak dijangka, tanpa memperincikan jenis atau jumlah perbelanjaan terbabit.

 

Zetrix AI berkata, sebarang perkembangan penting berkaitan perkara itu akan diumumkan dari semasa ke semasa apabila bersesuaian.

 

Pengumuman pembatalan dividen itu dibuat hanya empat hari sebelum tarikh penentuan penerima dividen yang pada asalnya ditetapkan pada 23 Oktober 2026.

 

Dividen sepatutnya dibayar pada 20 November

Berdasarkan pengumuman asal pada 24 Ogos 2026, Zetrix AI mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 0.25 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Mengikut jadual asal, tarikh tanpa kelayakan dividen ditetapkan pada 22 Oktober, diikuti tarikh penentuan penerima dividen pada 23 Oktober dan pembayaran pada 20 November 2026.

 

Sebagai perbandingan, Zetrix AI turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025 yang dibayar pada 18 November 2025.

 

Bagi tahun kewangan 2024, syarikat juga membayar dividen interim pertama pada kadar sama iaitu 0.25 sen sesaham pada 18 November 2024.

 

Rekod dalam laporan tahunan 2025 menunjukkan pembayaran dividen interim bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM19.53 juta, berbanding RM18.83 juta bagi tahun kewangan 2024.

 

Sekatan Dagangan Bursa Malaysia

Sementara itu, Bursa Malaysia turut mengeluarkan notis berasingan berhubung sekatan sementara urus niaga perniagaan langsung (DBT) melibatkan saham Zetrix AI dan 60 sekuriti berkaitan pada hari ini.

 

Menurut Bursa Malaysia, kesemua 61 sekuriti berkenaan tidak dibenarkan menjalankan DBT antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi mengikut Peraturan Dagangan 10.10(1).

 

Notis itu menyenaraikan saham biasa Zetrix AI dengan kod 0138 serta 60 sekuriti berkaitan, dengan alasan yang dinyatakan sebagai Requotation.

 

Bursa Malaysia memaklumkan DBT hanya dibenarkan semula mulai pukul 11 pagi, dengan harga rujukan bagi sekuriti yang didagangkan ditentukan berdasarkan harga purata wajaran volum (VWAP) antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi.

 

Bagi sekuriti yang tidak didagangkan sepanjang tempoh tersebut, harga rujukan sedia ada akan digunakan.

 

Bagaimanapun, Bursa Malaysia menegaskan sekatan sementara DBT itu tidak memberi kesan kepada urus niaga pasaran biasa. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved