Untung bersih naik hampir 90% pada 2QFY27, Pantech Global isytihar dividen 2.2 sen

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih naik hampir 90% pada 2QFY27, Pantech Global isytihar dividen 2.2 sen Image from: Untung bersih naik hampir 90% pada 2QFY27, Pantech Global isytihar dividen 2.2 sen liza21/10/2026 - 18:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Pantech Global Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 89.49% kepada RM19.33 juta bagi suku kedua berakhir 31 Ogos 2026, berbanding RM10.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan jualan dan harga jualan purata yang lebih tinggi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar dan pengeksport produk paip keluli industri itu berkata hasil bagi suku berkenaan meningkat 36.88% kepada RM173.71 juta daripada RM126.90 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 82.62% kepada RM24.7 juta berbanding RM13.52 juta.

 

“Peningkatan keuntungan turut disokong keupayaannya mengambil kira kesan tarif serta kenaikan kos bahan mentah dan tenaga dalam harga jualan, selain campuran produk yang lebih menguntungkan dan peningkatan kecekapan operasi.

 

“Keuntungan operasi Pantech Global meningkat 74.70% kepada RM27.01 juta bagi suku kedua FY2027 berbanding RM15.46 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, hasil meningkat 8.79% kepada RM173.71 juta daripada RM159.68 juta pada suku pertama FY2027, terutamanya disebabkan harga jualan purata yang lebih tinggi.

 

Keuntungan operasi meningkat 15.02% kepada RM27.01 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 14.33% kepada RM24.70 juta. Keuntungan bersih turut meningkat 18.17% daripada RM16.36 juta kepada RM19.33 juta.

 

Keuntungan enam bulan meningkat 60.58%

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Ogos 2026, keuntungan bersih Pantech Global meningkat 60.58% kepada RM35.69 juta berbanding RM22.23 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil terkumpul meningkat 32.02% kepada RM333.39 juta daripada RM252.53 juta, manakala keuntungan operasi meningkat 51.14% kepada RM50.50 juta berbanding RM33.41 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai pula meningkat 57.44% kepada RM46.30 juta daripada RM29.41 juta, dengan syarikat mengaitkan prestasi itu kepada peningkatan jumlah jualan, campuran produk yang lebih menguntungkan serta kadar pertukaran mata wang asing yang lebih stabil.

 

Menurut Pantech Global, peningkatan jumlah jualan turut memberikan manfaat ekonomi skala, manakala langkah penetapan harga membantu mengurangkan kesan tarif dan kenaikan kos bahan mentah serta tenaga.

 

Jangka prestasi separuh kedua lebih baik

Bagi baki tahun kewangan 2027, Pantech Global menjangkakan prestasi separuh kedua lebih baik berbanding separuh pertama, disokong permintaan yang dijangka kekal berdaya tahan daripada industri pelanggan utamanya serta aktiviti perindustrian dan pelaburan infrastruktur yang berterusan.

 

Syarikat akan meneruskan disiplin penetapan harga, meningkatkan kecekapan operasi dan mengamalkan pengurusan kos secara berhemah bagi menyokong keuntungan. 

 

Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan turun naik harga bahan mentah kekal sebagai risiko yang boleh mempengaruhi permintaan pasaran serta margin keuntungan.

 

Dalam perkembangan lain, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2.2 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2027. Dividen itu akan dibayar pada 16 Disember 2026 kepada pemegang saham yang layak pada 30 November 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved