
Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang ditahan pada hari lahirnya yang ke-24 tahun ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan kerana berulang kali mengambil syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Zulkarnain yang mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya pada Selasa.
Mohammad didapati mengambil dadah itu jam 8.30 pagi, 24 Februari tahun ini selepas ujian air kencingnya di Balai Polis Papar menunjukkan keputusan positif. Dia mempunyai dua rekod sabitan lampau kerana mengambil dadah.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Kesalahan di bawah Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selepas menjalani hukuman penjara, Mohammad turut diperintah diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, mahkamah menasihati Mohammad agar tidak mengulangi kesalahan mengambil dadah, mencari pekerjaan dan pasangan hidup memandangkan dia masih bujang.
Di mahkamah berasingan, mahkamah menetapkan 24 Julai sebagai tarikh pengurusan kes pra-perbicaraan selanjutnya bagi seorang pemandu lori berusia 38 tahun yang didakwa melakukan pecah amanah jenayah membabitkan produk sejuk beku bernilai RM39,326.
Tarikh itu ditetapkan untuk Azlan Limin selepas peguamnya menarik diri daripada mewakilinya. Azlan memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak mampu mendapatkan khidmat peguam disebabkan masalah kewangan.
Dia didakwa mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya sebagai pemandu lori yang ditugaskan oleh Evergrowth Intergrated Food Industries Sdn Bhd untuk menghantar 316 karton barangan sejuk beku pada 9 April tahun ini di premis syarikat itu di Kg Mook, Kinarut, Papar.
Dia meminta dibicarakan terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut melanjutkan jaminan terhadap Azlan. Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis tampil untuk pendakwaan.




