Penagih serang polis dengan parang ditembak mati

3 Aug 2026 • 4:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penagih serang polis dengan parang ditembak mati

LARUT: Suspek yang menyerang dua anggota polis di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Batu Kurau pada 23 Jun lalu maut ditembak selepas bertindak agresif menyerang anggota keselamatan menggunakan parang ketika cuba ditahan di sebuah pondok dusun buah-buahan di Kampung Kelian Gunung Ijok, pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi selepas pihak polis menerima maklumat awam mengenai lokasi persembunyian suspek di pondok berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama diketuai Inspektor B. Thanabalan kemudian bergerak ke lokasi bagi menjalankan tangkapan.

“Setibanya di lokasi, pasukan serbuan melihat suspek berada di bawah pondok sebelum memperkenalkan diri sebagai polis dan cuba menghampirinya.

“Bagaimanapun, suspek bangun dan mengambil sebilah parang yang berada berhampirannya sebelum meluru menyerang serta melibas parang ke arah anggota polis,” katanya dalam sidang media di IPD Selama, hari ini.

Beliau berkata, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri yang mengenai kedua-dua paha suspek sebelum lelaki itu rebah.

Katanya, suspek masih cuba melawan ketika proses tangkapan sehingga berlaku pergelutan sebelum parang berkenaan berjaya dirampas dan suspek ditahan.

Mohd Alwi berkata, pihak polis kemudian mendapatkan bantuan Hospital Daerah Selama bagi merawat suspek yang cedera.

“Namun, pasukan perubatan yang tiba kira-kira pukul 9.20 pagi mengesahkan suspek telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan hari ini oleh doktor pakar patologi Hospital Taiping, namun keputusan masih belum diperoleh.

Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan tiga kes jenayah serta tujuh kes berkaitan pemilikan dan penyalahgunaan dadah.

Dalam kejadian 23 Jun lalu, suspek dipercayai menyerang dua anggota polis ketika operasi tangkapan penagih dadah di sebuah pondok di Kampung Sungai Jernih menggunakan pisau.

Serangan itu menyebabkan seorang anggota polis berusia 44 tahun mengalami kecederaan di kepala, perut dan tangan, manakala seorang lagi anggota berusia 27 tahun cedera di bahagian dahi, bawah mata, tangan dan siku.

Kedua-dua anggota polis menerima rawatan di Hospital Taiping selama tiga hari, manakala suspek melarikan diri selepas kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – UTUSAN

 

The post Penagih serang polis dengan parang ditembak mati appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved