
LARUT – Seorang lelaki dipercayai penagih dadah maut ditembak polis selepas bertindak agresif menyerang anggota keselamatan menggunakan sebilah parang ketika cuba ditahan di sebuah pondok dusun buah-buahan di Kampung Kelian Gunung Ijok, Batu Kurau di sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi selepas polis menerima maklumat awam mengenai lokasi persembunyian suspek sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama diketuai Inspektor B. Thanabalan digerakkan untuk membuat tangkapan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, anggota polis memperkenalkan diri dan cuba menghampiri suspek yang berada di bawah pondok berkenaan, namun lelaki itu bertindak mengambil sebilah parang sebelum meluru menyerang dan cuba menetak anggota bertugas.
“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan menyebabkan kaki suspek cedera sebelum dia rebah.
“Suspek bagaimanapun masih melawan ketika ditahan sehingga berlaku pergelutan sebelum parang berjaya dirampas,” katanya pada sidang akhbar di IPD Selama di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian diberikan rawatan oleh pasukan perubatan Hospital Daerah Selama, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kira-kira pukul 9.20 pagi.
Katanya, bedah siasat dijalankan oleh pakar patologi Hospital Taiping dan keputusan masih belum diperoleh, manakala semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan tiga kes jenayah serta tujuh kes berkaitan memiliki dan menghisap dadah.
Dalam perkembangan sama, katanya, suspek sebelum ini dipercayai menyerang dua anggota polis menggunakan pisau ketika operasi tangkapan penagih dadah di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Batu Kurau pada 23 Jun lalu.
“Serangan itu menyebabkan anggota berusia 44 tahun mengalami kecederaan di kepala, perut sebelah kiri dan tangan kiri, manakala seorang lagi anggota berusia 27 tahun cedera di bahagian dahi, bawah mata kiri hingga pipi, tangan kanan serta siku kanan.
“Kedua-dua anggota polis menerima rawatan di Hospital Taiping selama tiga hari selepas kejadian itu, manakala suspek melarikan diri sebelum berjaya dikesan semalam,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE
The post Penagih agresif maut ditembak selepas 40 hari diburu appeared first on Kosmo Digital.

.jpg)




