.jpg)
KUALA LUMPUR - Seorang suspek kes dadah yang dikehendaki kerana menyerang dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Selama sehingga cedera parah, ditembak mati selepas bertindak agresif menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang ketika cuba ditahan di Batu Kurau, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek dikesan bersembunyi di sebuah pondok kebun buah-buahan di Kampung Klian Gunung Ijok, Batu Kurau kira-kira jam 8.20 pagi, hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.
Menurut beliau, sebaik pasukan polis tiba di lokasi, suspek dilihat berada di bawah pondok berkenaan sebelum anggota bertindak menghampirinya untuk membuat tangkapan.
“Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba bangun, mencapai sebilah parang yang berada berhampirannya dan terus menyerang serta cuba menetak anggota dan pegawai polis yang menjalankan operasi tersebut.
“Bagi mempertahankan diri daripada ancaman berkenaan, polis melepaskan satu das tembakan yang mengenai kedua-dua paha suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, hari ini.
Beliau berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan suspek meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi.
Mohd Alwi memaklumkan, suspek yang bekerja sebagai buruh itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau, membabitkan tiga kes jenayah dan tujuh kes berkaitan dadah.
Mayat suspek dihantar ke Hospital Taiping untuk menjalani proses bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan dua anggota BSJN IPD Selama cedera parah selepas diserang menggunakan pisau oleh seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dalam kejadian di Kampung Sungai Jernih, Ijok, pada 23 Jun lalu, kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Dalam kejadian itu, suspek melarikan diri sejurus selepas serangan, sekali gus mencetuskan operasi memburu yang dijalankan pihak polis.
Seorang anggota berusia 44 tahun mengalami kecederaan akibat tetakan dan tikaman di bahagian kepala, perut serta tangan, manakala seorang lagi anggota berusia 27 tahun cedera pada dahi, mata kiri, pipi, tangan dan siku.
Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Taiping selama tiga hari sebelum kembali bertugas kira-kira seminggu kemudian. - Getaran, 3 Ogos 2026






