
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 37 tahun yang pernah dua kali disabitkan kesalahan mengambil syabu sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu atas kesalahan sama.
Cassey Connel mengaku bersalah di hadapan Hakim Monica Linsua namun mahkamah menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan patologi.
Cassey didakwa mengambil dadah berbahaya yang juga dikenali sebagai Amphetamine dan Methamphetamine pada 11 September lalu, jam 11.35 pagi selepas sampel air kencingnya diambil di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Pertuduhan menyatakan tertuduh mempunyai dua rekod sabitan terdahulu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabitan pertama direkodkan pada 25 Ogos 2022 di Mahkamah Majistret apabila dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Bagi sabitan kedua pada 16 Mei 2024, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024 serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Cassey kini didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta berkenaan.
Jika sabit kesalahan Cassey berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta sebatan sekurang-kurangnya tiga kali.
Seksyen 38B(1) turut memperuntukkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan seorang pegawai seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Terdahulu pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan patologi serta membantah permohonan jaminan terhadap tertuduh.
Cassey kekal dalam tahanan sementara menunggu pelupusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh yang tidak bekerja tidak diwakili peguam.






