
BERTAHUN-TAHUN selepas meninggalkan pentas profesional PUBG Mobile, Muhammad Nur Ihsan Ismail atau lebih dikenali sebagai San Gaming atau San, tidak pernah menyangka peluang untuk bergelar juara dunia akan hadir sekali lagi dalam hidupnya.
Namun, peluang yang datang menerusi kejohanan Samsung Play Galaxy Cup 2026 bukan sahaja mengembalikannya ke pentas kompetitif, malah membawa dirinya dan tiga lagi wakil Malaysia menjuarai pentas dunia di Gamescom 2026 yang berlangsung di Cologne, Jerman baru-baru ini.
Lebih istimewa, kejayaan itu hadir selepas perjalanan panjang yang penuh jatuh bangun sejak San mula serius dalam dunia e-sukan.
Samsung PlayGalaxy Cup merupakan kejohanan permainan mudah alih global yang mengetengahkan kemampuan peranti Galaxy dalam arena permainan kompetitif.
Edisi 2026 menjadi yang pertama dianjurkan dalam format liga sepanjang musim, dengan pusingan kelayakan serantau di lima wilayah iaitu Amerika Utara, Asia Barat Daya, Asia Tenggara, Amerika Latin dan Eropah.
Sebanyak 32 pasukan dari 17 negara bersaing untuk merebut tempat ke peringkat akhir sebelum 10 pasukan dari sembilan negara melangkah ke World Final di Gamescom.
Pada final dunia yang berlangsung pada 27 dan 28 Ogos lalu itu, pasukan Malaysia yang terdiri daripada San Gaming, VRT1CAA, Adikboy dan ACAD muncul juara selepas bersaing dengan 10 pasukan dari sembilan negara.
Kesemua pemain bertanding menggunakan Samsung Galaxy S26 Ultra dalam kejohanan itu yang tahun ini buat pertama kali menggunakan format liga semusim dengan kelayakan serantau sebelum menuju ke final dunia.
Berkongsi dengan K-Remaja, San menyifatkan kejayaan itu jauh lebih besar daripada sekadar sebuah trofi.
“Saya dah cuba banyak kali untuk capai ke tahap ini, namun gagal. Akhirnya berjaya juga walaupun mengambil masa yang sangat lama,” katanya sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai impian yang disimpan sejak 2019.
Tambah San, apa yang menjadikan momen itu lebih manis adalah kerana kejayaan tersebut membolehkan mereka membawa nama Malaysia ke pentas dunia dan bergelar juara dunia ketika negara menyambut Hari Kebangsaan ke-69.
Namun, perjalanan pasukan Malaysia menuju ke kejuaraan bukan tanpa dugaan.
Daripada lapan permainan yang disertai, tujuh daripadanya menyaksikan pasukan itu mencatat Winner Winner Chicken Dinner.

Anehnya, cabaran paling besar bukan datang daripada lawan, sebaliknya berlaku hanya beberapa jam sebelum perlawanan terakhir.
Membuka cerita, San berkata, kira-kira lima jam sebelum pertandingan bermula, ketika dalam perjalanan ke venue, rakan sepasukannya, Adikboy atau Nik Haiqal Qayyum terjatuh dari tangga dan mengalami kecederaan lutut yang serius sehingga tidak mampu berjalan.
“Saya terpaksa bawa Adikboy ke hospital dan doktor mengatakan kecederaan yang dialaminya agak serius dan perlu melakukan imbasan MRI.
“Kami ambil keputusan untuk tidak meneruskan rawatan dan hanya membuat rawatan sementara supaya Adikboy dapat bermain juga pada hari terakhir,” jelasnya.
Sepanjang final, Adikboy terpaksa bermain dalam keadaan sakit dan mengambil ubat tahan sakit, malah perlu dipapah dan didukung untuk sampai ke venue.
Bagi San, melihat rakan sepasukannya terus berjuang dalam keadaan sedemikian menjadikan kemenangan itu lebih bermakna.
“Walaupun terpaksa dipapah dan didukung untuk sampai ke venue, semua lelah dan kesakitan yang dirasai terasa hilang apabila berjaya mendapatkan gelaran World Champion,” katanya.
Selain cabaran di venue, perjalanan pergi dan balik dari Malaysia ke Jerman yang mengambil masa kira-kira 30 jam turut menguji fizikal kesemua ahli kumpulan.
Bagi San sendiri, kejayaan tersebut hadir di luar jangkaan, lebih-lebih lagi selepas dia tidak lagi aktif sebagai pemain profesional sejak 2022. Selepas meninggalkan arena kompetitif, San lebih menumpukan kepada penghasilan
kandungan dan penstriman langsung, selain menguruskan organisasi e-sukannya sendiri iaitu Vertice.
“Saya tak pernah terbayangkan yang saya akan menang world title sebab saya dah berhenti sebagai pemain profesional PUBG Mobile sejak 2022 dan lebih fokus kepada penghasilan konten dan penstriman langsung,” katanya.
Bagaimanapun, peluang untuk kembali beraksi di pentas kompetitif hadir selepas San yang sudah bertahun-tahun bekerjasama dengan Samsung diberi kepercayaan mewakili Malaysia dalam Samsung PlayGalaxy Cup 2026.
Membuka bicara tentang bagaimana dia mula berkecimpung dalam dunia e-sukan pula, San memberitahu ia bermula sejak dia berusia lapan tahun, selepas dia terpengaruh dengan sepupu dan abangnya yang gemar bermain permainan video.
Sewaktu berusia 19 tahun dan sedang mengikuti pengajian bidang pengurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah pula, San berkata, minat itu mula bertukar menjadi kerjaya apabila pasukannya ketika itu yang dikenali sebagai Dingoz MZ telah berjaya melayakkan diri ke PUBG Mobile Pro League (PMPL).
Ketika itulah San mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada e-sukan.
Selain bertanding, dia juga membina kerjaya sebagai pencipta kandungan di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook dengan jumlah pengikut melebihi satu juta di semua platform.
Kini, San bekerjasama dengan pelbagai jenama termasuk Samsung, GrabFood, 100PLUS dan ROG, selain menubuhkan Team Vertice pada tahun ini.
Bagaimanapun, perjalanan itu bukan mudah terutama untuk mendapatkan kepercayaan keluarga.
“Dari kecil, gaming bukanlah sesuatu yang dianggap sebagai kerjaya oleh keluarga saya.
“Bahkan, saya pernah dimarahi dan dirotan kerana terlalu banyak bermain game,” katanya.
Jelas San, ibunya seorang pensyarah, manakala bapanya bekas tentera dan oleh sebab itu, keluarganya amat mengutamakan pendidikan, disiplin dan kerjaya.
Begitu pun, San mahu membuktikan bahawa keputusannya bukan sekadar kerana minat bermain permainan video.
Kini, selepas bergelar juara dunia, dia mahu kejayaan itu menjadi bukti bahawa pemain tempatan mampu bersaing di peringkat tertinggi.
“Saya berharap kemenangan ini dapat membuka lebih banyak peluang dan memberi keyakinan kepada industri e-sukan Malaysia bahawa pemain tempatan sebenarnya mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Pada masa sama, San berharap sokongan terhadap pemain e-sukan dapat diperluas, bukan hanya dalam bentuk pertandingan dan hadiah kemenangan, tetapi turut merangkumi pembangunan bakat, pendidikan, fasiliti latihan dan laluan kerjaya jangka panjang.
“E-sukan bukan sekadar tentang bermain game, tetapi juga melibatkan disiplin, kerja berpasukan, strategi dan pengurusan profesional,” katanya.
The post Pernah hampir putus asa, kini bergelar juara dunia appeared first on Kosmo Online.






