Penalti RM98.49 juta terhadap 58 syarikat: 510 lagi dalam siasatan aktiviti kartel tipuan bida

LocalBusiness & Finance
31 Oct 2026 • 5:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Penalti RM98.49 juta terhadap 58 syarikat: 510 lagi dalam siasatan aktiviti kartel tipuan bida

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat yang terbabit dalam aktiviti kartel tipuan bida di bawah Akta Persaingan 2010, dengan jumlah penalti keseluruhan RM98.49 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata, sebanyak 510 syarikat lagi sedang disiasat berhubung aktiviti sama membabitkan tender awam dan swasta bernilai lebih RM3 bilion.

Beliau berkata, usaha membanteras kartel tipuan bida diberi tumpuan selaras dengan dasar perolehan kerajaan yang mengutamakan kaedah tender, termasuk bagi pembekalan makanan.

“Sejajar dengan dasar itu, penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan terhadap amalan kartel berbentuk tipuan bida turut diberikan tumpuan, termasuk penyediaan peruntukan tambahan bermula 2024 bagi memperkasa unit berkaitan tipuan bida,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 bagi peringkat dasar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat, di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata MyCC pada 13 Okt lepas mengeluarkan Keputusan Cadangan Baharu terhadap 18 perusahaan yang disyaki terbabit dalam aktiviti kartel tipuan bida.

Menurutnya, kes itu membabitkan 30 tender bagi pembekalan makanan, termasuk kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), serta perkhidmatan pembersihan.

Tender berkenaan dibuka oleh 12 entiti sektor awam, terdiri daripada enam kementerian, tiga IPTA, dua Jabatan Agama Islam Negeri dan sebuah badan berkanun Persekutuan, dengan nilai keseluruhan perolehan RM108.3 juta.

“Antara bukti yang diperoleh MyCC termasuk penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk harga bidaan yang dicadangkan serta perkongsian sumber kewangan dan tenaga manusia antara perusahaan terbabit.

“Bagaimanapun, perusahaan berkenaan masih diberi peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dikeluarkan, selepas mengambil kira penjelasan mereka dan bukti yang diperoleh sepanjang penyiasatan,” katanya.

Mengenai kos sara hidup, Armizan berkata KPDN akan meneruskan pemantauan harga harian terhadap 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis menerusi 850 Pegawai Pemantau Harga bagi mengesan kenaikan harga tidak munasabah.

Katanya, kerajaan turut melaksanakan operasi khas seperti Ops Kesan bagi membendung pencatutan di sepanjang rantaian bekalan, selain menyelaraskan tindakan antara kementerian dan agensi untuk mengenal pasti punca kenaikan harga serta gangguan bekalan.

Mengenai minyak masak bersubsidi, beliau berkata KPDN akan memperkukuh penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 3.0 serta kerjasama dengan agensi keselamatan bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan, khususnya di kawasan sempadan.

“Penguatkuasaan terhadap peniaga kecil juga dilaksanakan secara berhemah mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard, termasuk memberikan khidmat nasihat serta advokasi sebelum tindakan perundangan diambil jika bersesuaian,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved