sarah28/10/2026 - 17:23 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat 510 syarikat yang disyaki terlibat dalam kegiatan kartel tipuan bida (bid rigging) membabitkan tender sektor awam dan swasta bernilai lebih RM3 bilion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, siasatan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan, khususnya dalam proses perolehan yang menggunakan kaedah tender.
Beliau berkata, setakat ini, MyCC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat berhubung isu tipuan bida, melibatkan jumlah penalti sebanyak RM98.49 juta berdasarkan statistik keseluruhan Keputusan Cadangan dan Keputusan Akhir.
"Pada masa yang sama, MyCC sedang aktif menyiasat 510 syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti yang sama berkaitan dengan tender-tender bernilai lebih daripada RM3 bilion, meliputi tender dalam sektor awam dan sektor swasta," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
18 perusahaan didakwa terlibat kartel tender RM108.3 juta
Armizan berkata, pada 13 Oktober 2026, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan Baharu terhadap 18 perusahaan atas dakwaan penglibatan dalam kartel tipuan bida melibatkan 30 tender dengan nilai keseluruhan perolehan RM108.3 juta.
Menurutnya, tender berkenaan merangkumi pembekalan makanan, termasuk untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), selain penyediaan perkhidmatan pembersihan.
Beliau berkata, sebanyak 12 entiti sektor awam terlibat dalam tawaran tender berkenaan, terdiri daripada enam kementerian, tiga IPTA, dua Jabatan Agama Islam Negeri dan sebuah badan berkanun Persekutuan.
Antara bukti yang diperoleh MyCC ialah penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk cadangan harga bidaan serta perkongsian kewangan dan sumber manusia antara perusahaan terbabit.
Bagaimanapun, Armizan menjelaskan bahawa 18 perusahaan berkenaan masih diberikan peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum sebarang Keputusan Akhir dibuat.
"Keputusan Akhir akan dikeluarkan selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan," katanya.
Penguatkuasaan kartel tipuan bida diperkukuh
Armizan berkata, kerajaan memberikan perhatian khusus kepada penguatkuasaan terhadap kartel tipuan bida, sejajar dengan dasar perolehan pentadbiran semasa yang mengutamakan kaedah tender, termasuk bagi pembekalan makanan.
Beliau berkata, usaha itu turut disokong melalui penyediaan peruntukan tambahan sejak 2024 bagi memperkasa unit berkaitan tipuan bida, selain pindaan kepada Akta Persaingan yang diwartakan pada 23 Oktober 2026 untuk memperkukuh tindakan membanteras kartel dan amalan antipersaingan.- DagangNews.com






