liza24/08/2026 - 17:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos – ITMAX System Berhad mencatat keuntungan bersih RM31.88 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 35.2% daripada RM23.58 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya didorong pertumbuhan kukuh daripada projek infrastruktur digital.
Hasil kumpulan bagi suku berkenaan turut meningkat 28.3% kepada RM75 juta daripada RM58.46 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat meningkat kepada RM30.01 juta berbanding RM23.07 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata peningkatan hasil itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan infrastruktur digital yang mencatat hasil RM56.66 juta, meningkat 42.25% daripada RM39.83 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
“Selain itu hasil daripada pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan turun sedikit 1.67% kepada RM17.36 juta daripada RM17.65 juta, manakala hasil dagangan susut 1.90% kepada RM414,000 daripada RM422,000.
“Hasil pajakan daripada perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi dan rangkaian pula meningkat 3.09% kepada RM568,000 berbanding RM551,000 setahun sebelumnya,” kata syarikat dalam makluman tersebut.
Pertumbuhan Infrastruktur Digital
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, ITMAX merekodkan hasil RM140.86 juta, meningkat 29.01% daripada RM109.18 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih kumpulan bagi tempoh tersebut turut meningkat kepada RM59.36 juta berbanding RM44.26 juta manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat meningkat kepada RM55.02 juta daripada RM43.22 juta.
Pertumbuhan hasil bagi tempoh enam bulan itu juga dipacu perkhidmatan infrastruktur digital yang menyumbang RM111.32 juta, meningkat 44.61% daripada RM76.98 juta.
Sebaliknya, hasil daripada pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan turun 9.67% kepada RM27.67 juta daripada RM30.63 juta, manakala hasil dagangan meningkat 38.31% kepada RM639,000.
Hasil pajakan daripada perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi dan rangkaian turut meningkat 11.04% kepada RM1.23 juta berbanding RM1.11 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi Terus Mengukuh
Prestasi ITMAX pada suku kedua juga lebih baik berbanding suku pertama 2026 apabila hasil meningkat 13.88% kepada RM75 juta daripada RM65.86 juta.
Keuntungan bersih bagi suku kedua pula meningkat berbanding suku pertama, dengan keuntungan kumpulan selepas cukai berjumlah RM31.88 juta berbanding RM27.48 juta pada suku sebelumnya berdasarkan angka terkumpul dalam laporan kewangan.
Dalam tempoh sama, ITMAX terus meningkatkan pelaburan dalam aset bagi menyokong perkembangan perniagaan, dengan perbelanjaan RM81.91 juta untuk pembelian hartanah, loji dan peralatan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026.
Kumpulan turut membelanjakan RM903,000 untuk aset tidak ketara serta RM4.96 juta bagi pengambilalihan anak syarikat, menyebabkan aliran tunai bersih yang digunakan untuk aktiviti pelaburan berjumlah RM88 juta.
Kedudukan Kewangan Dan Prospek
Jumlah aset ITMAX meningkat kepada RM683.64 juta pada 30 Jun 2026 berbanding RM620.40 juta pada 31 Disember 2025, manakala jumlah ekuiti meningkat kepada RM543.59 juta daripada RM503.72 juta.
Bagaimanapun, tunai dan setara tunai kumpulan berkurangan kepada RM54.33 juta daripada RM118.94 juta pada akhir 2025, selari dengan peningkatan perbelanjaan pelaburan sepanjang tempoh tersebut.
Bagi tempoh akan datang, ITMAX berkata kumpulan akan meneruskan usaha pertumbuhan dengan memperluas penawaran perkhidmatan serta mengembangkan operasi ke kawasan geografi dan segmen lain.
Kumpulan mengakui tekanan inflasi masih menjadi ancaman kepada ekonomi tempatan dan global, namun lembaga pengarah kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap prospek masa depan kumpulan. - DagangNews.com





