Penerbangan terus TransNusa dari Lampung ke KLIA bermula 24 Ogos dengan promosi tambang RM399

TravelSales & Promo
24 Aug 2026 • 5:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penerbangan terus TransNusa dari Lampung ke KLIA bermula 24 Ogos dengan promosi tambang RM399 Image from: Penerbangan terus TransNusa dari Lampung ke KLIA bermula 24 Ogos dengan promosi tambang RM399 liza24/08/2026 - 17:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos – TransNusa membuka laluan penerbangan terus pertama antara Kuala Lumpur dan Bandar Lampung di Indonesia, dengan perkhidmatan harian bermula 24 Ogos 2026.

 

Penerbangan sulung 8B 661 itu berlepas dari Lapangan Terbang Radin Inten II, Bandar Lampung pada 11:40 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2:25 petang.

 

Laluan baharu itu membolehkan penumpang melakukan perjalanan terus tanpa perlu transit di Jakarta, sekali gus memendekkan masa perjalanan dan memberikan pilihan perjalanan yang lebih mudah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, pembukaan laluan itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperluaskan rangkaian penerbangan serantau serta menghubungkan destinasi yang sebelum ini tidak mempunyai penerbangan terus.

 

Menurutnya, laluan tersebut turut membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk meneroka Lampung, selain mengeratkan hubungan ekonomi dan pelancongan antara Kuala Lumpur dan wilayah berkenaan.

 

Memperkenalkan Lampung Sebagai Destinasi Baharu

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata perkhidmatan baharu itu memperluaskan hubungan udara antara Malaysia dan Indonesia melangkaui bandar-bandar utama.

 

Katanya, laluan tersebut memberikan pilihan perjalanan yang lebih mudah kepada pelancong dari Lampung untuk berkunjung ke Kuala Lumpur, selain memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia untuk meneroka destinasi di Indonesia.

 

Lampung yang terletak di bahagian selatan Sumatera menawarkan pelbagai tarikan alam semula jadi, termasuk Teluk Kiluan yang terkenal dengan pengalaman melihat ikan lumba-lumba liar.

 

t
Lampung

 

Pelancong turut boleh mengunjungi Taman Negara Way Kambas untuk melihat gajah Sumatera, selain meneroka kawasan gunung berapi Anak Krakatau.

 

Antara tarikan lain ialah Pulau Pahawang yang menawarkan keindahan terumbu karang dan air laut yang jernih, manakala kawasan Krui dan Tanjung Setia terkenal dalam kalangan penggemar sukan meluncur ombak.

 

Penerbangan Harian Dengan Tambang Bermula RM399

Bagi penerbangan dari Kuala Lumpur, 8B 662 berlepas pada 3 petang dan tiba di Bandar Lampung pada 3:45 petang.

 

TransNusa berkata, tiket bagi laluan harian itu kini sudah mula dijual dengan tambang promosi sehala bermula RM399.

 

Syarikat penerbangan itu menyifatkan Lampung sebagai destinasi alternatif kepada lokasi popular seperti Bali, khususnya bagi pelancong yang mencari pengalaman lebih dekat dengan alam semula jadi dan kurang sesak.

 

TransNusa ditubuhkan pada 2005 dan berpangkalan di Jakarta. Syarikat itu mengendalikan pesawat Airbus A321, Airbus A320 dan COMAC C909 serta menawarkan ruang kaki antara 30 hingga 31 inci.

 

Selain Kuala Lumpur, TransNusa turut menghubungkan beberapa bandar di Indonesia dengan destinasi antarabangsa seperti Singapura, Perth, Guangzhou dan Bangkok. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved