Penanda kiblat di Gunung Kinabalu tak halang penganut agama lain berdoa – Mufti Sabah

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 9:40 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Penanda arah kiblat yang dipasang di beberapa hentian rehat di Gunung Kinabalu bertujuan membantu pendaki Islam menentukan arah Kaabah ketika hendak menunaikan solat.

Image from: Penanda kiblat di Gunung Kinabalu tak halang penganut agama lain berdoa – Mufti Sabah

Memetik laporan Berita Harian, Mufti Sabah, Datuk Dr Bungsu@Aziz Jaafar, berkata kemudahan itu disediakan bagi memenuhi keperluan ibadat pendaki Muslim. Jelasnya, pengunjung daripada agama lain tetap boleh berdoa dan mengamalkan kepercayaan masing-masing ketika berada di gunung berkenaan.

“Kewujudan penanda kiblat sama sekali tidak menghalang penganut agama lain untuk berdoa atau mengamalkan kepercayaan masing-masing di gunung itu.
“Tiada istilah keistimewaan eksklusif kepada satu-satu agama di Gunung Kinabalu. Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti keagamaan bergantung kepada keperluan serta kelulusan daripada pihak berautoriti, iaitu Taman-Taman Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjelaskan bahawa arah kiblat perlu mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkenaan, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama berkaitan, bagi memastikan ketepatannya.

Image from: Penanda kiblat di Gunung Kinabalu tak halang penganut agama lain berdoa – Mufti Sabah

Menurut Bungsu, penganut agama lain yang memerlukan kemudahan tertentu juga boleh mengemukakan cadangan kepada pengurusan Taman-Taman Sabah. Cadangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kesesuaian dan peraturan taman.

“Keadilan tidak seharusnya diukur berdasarkan penyamarataan semua bentuk kemudahan agama, sebaliknya perlu dilihat dari sudut penghormatan dan layanan saksama kepada setiap pengunjung,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa penanda arah kiblat yang telah disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah ditempatkan di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu.

Pemasangan itu merupakan antara pengisian program pendakian Gunung Kinabalu yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, bersama warga agensi berkenaan.

Sumber: Berita Harian (Rafiqah Dahali)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved