Penang Chip Design Academy Mahu Melatih 1000 Jurutera Rekaan Cip Menjelang 2030

WorldTechnologyDigitalSpace
11 Jul 2025 • 2:07 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Malaysia merupakan salah satu negara yang cukup penting dalam industri pembangunan teknologi semikonduktor global, dimana terdapat banyak syarikat global dan tempatan yang terlibat dalam rekaan, pengilangan, pempakejan dan ujian cip semikonduktor global.

Walaupun begitu, industri ini dilihat masih lagi ketandusan bakat dalam beberapa bahagian, khususnya jurutera rekaan cip. Terkini, kerajaan Pulau Pinang telah membuka pusat Penang Chip Design Academy di Bayan Lepas yang bertujuan untuk melatih jurutera rekaan cip untuk masa hadapan.

image is not available

Pembukaan Penang Chip Design Academy dilakukan pada hari semalam, akan tetapi ia telahpun mula melatih 25 pelajar melalui kursus penguasaan reka bentuk litar bersepadu (IC Design Mastery Course) sejak 16 Jun yang lalu.

Kursus-kursus yang ditawarkan di Penang Chip Design Academy dikelola oleh profesional industri bertauliah dengan pengalaman global selama 20 tahun, dan akan melatih graduan baru dan juga jurutera sedia ada yang mahu mempelajari kemahiran baru yang berguna untuk pembangunan industri semikonduktor tempatan.

CEO Penang Chip Design Academy, Harry Narayanan mengatakan bahawa sasaran awal akademi tersebut ialah untuk melatih seramai 200 jurutera pada tahun pertama, dan seramai 1000 jurutera menjelang 2030.

image is not available

Pembukaan Penang Chip Design Academy ini juga adalah sebahagian daripada pelan besar kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri tersebut sebagai hab pembangunan teknologi semikonduktor. Pada minggu lepas, kerajaan Pulau Pinang juga telah membuka Penang Silicon Research and Incubation Space (SRIS), sebuah hab penyelidikan dan pembangunan cip semikonduktor tempatan dibawah inisiatif Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) oleh InvestPenang.

Pembukaan lokasi SRIS ini dilihat akan memanfaatkan sejumlah syarikat pemula pereka cip semikonduktor seperti Filpal, Infinecs Lab dan Silicon X. Syarikat-syarikat pereka cip lain seperti SkyeChip dan Sophic Automation juga dilaporkan akan membuka pusat rekaan cip di lokasi tersebut.