Penasihat bebas syor pemegang saham sokong pelupusan anak syarikat HexTech bernilai RM38 juta, transaksi adil dan munasabah

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 11:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penasihat bebas syor pemegang saham sokong pelupusan anak syarikat HexTech bernilai RM38 juta, transaksi adil dan munasabah Image from: Penasihat bebas syor pemegang saham sokong pelupusan anak syarikat HexTech bernilai RM38 juta, transaksi adil dan munasabah liza06/11/2026 - 11:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov – Penasihat bebas kepada Hextar Technologies Solutions Berhad (HexTech) mengesyorkan pemegang saham tidak berkepentingan syarikat itu mengundi menyokong cadangan pelupusan keseluruhan 100% kepentingannya dalam Guper Bonded Warehouse Sdn Bhd (GBWSB) kepada Hextar Holdings Sdn Bhd.

 

Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd berpendapat cadangan pelupusan itu adalah adil dan munasabah serta tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham tidak berkepentingan.

 

Cadangan berkenaan membabitkan penjualan keseluruhan pegangan HexTech dalam GBWSB, sebuah anak syarikat milik penuhnya, dengan balasan tunai RM2.77 juta.

 

Selain itu, transaksi berkenaan turut membabitkan penebusan saham keutamaan boleh tebus dan boleh tukar (RCPS) bernilai RM35.05 juta serta pembayaran balik pendahuluan antara syarikat kira-kira RM318,000, menjadikan jumlah hasil tunai yang dijangka diterima HexTech sebanyak RM38.14 juta.

 

Lima lot tanah industri di Nilai menjadi aset utama

GBWSB merupakan syarikat pegangan pelaburan yang aset utamanya terdiri daripada lima lot tanah industri bersebelahan di Nilai Industrial Estate, Negeri Sembilan dengan keluasan keseluruhan 56,231 meter persegi.

 

Tanah berstatus pegangan bebas itu mempunyai nilai pasaran RM38.5 juta berdasarkan penilaian bebas oleh Laurelcap Sdn Bhd pada 24 Jun 2026. Bagaimanapun, tanah berkenaan masih kosong dan diluluskan untuk kegunaan industri (gudang) sahaja.

 

Menurut HexTech, tanah itu diperoleh kumpulan pada 16 November 2007 dengan tujuan membangunkan kemudahan gudang bagi menyokong perniagaan logistiknya ketika itu.

 

Bagaimanapun, selepas kumpulan mengubah tumpuan perniagaan kepada sektor teknologi pada 2021, rancangan pembangunan gudang tidak diteruskan. Pelupusan itu dijangka menghasilkan keuntungan pro forma kira-kira RM31.59 juta kepada kumpulan.

 

RM20 juta untuk pengembangan perniagaan teknologi

Daripada jumlah hasil tunai RM38.14 juta, HexTech bercadang memperuntukkan RM20 juta atau 52.44% untuk pelaburan dalam perniagaan teknologi, manakala RM16 juta atau 41.96% digunakan bagi mengurangkan pinjaman bank.

 

Baki RM1.62 juta diperuntukkan untuk modal kerja am, sementara RM512,000 digunakan bagi menampung perbelanjaan berkaitan transaksi berkenaan.

 

Peruntukan RM20 juta untuk perniagaan teknologi merangkumi RM5 juta bagi pembangunan, penambahbaikan dan penyelenggaraan aplikasi MoneyX, MoneyX Biz serta aplikasi teknologi akan datang, selain RM5 juta untuk pemasaran dan pembangunan jenama MoneyX, MoneyX Biz dan NET7.

 

Sebanyak RM10 juta lagi diperuntukkan bagi pembayaran gaji dan perbelanjaan kakitangan bahagian teknologi melibatkan 26 pekerja sepanjang tempoh penggunaan hasil selama 30 bulan.

 

Sementara itu, pembayaran balik pinjaman bank RM16 juta dijangka mengurangkan kos pembiayaan kumpulan dan menghasilkan penjimatan faedah tahunan kira-kira RM890,000.

 

Transaksi pihak berkaitan perlu kelulusan pemegang saham

Cadangan pelupusan itu dikategorikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berikutan kepentingan Dato’ Ong Choo Meng yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengarah eksekutif HexTech, selain pemegang saham utama syarikat pembeli, Hextar Holdings.

 

Sehubungan itu, beliau serta pemegang saham berkepentingan lain akan berkecuali daripada perbincangan dan pengundian berhubung resolusi berkenaan.

 

Cadangan pelupusan itu akan dibentangkan untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham tidak berkepentingan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) HexTech pada 24 November 2026, jam 10 pagi di Hextar Tower, Petaling Jaya.

 

Transaksi itu dijangka selesai pada suku keempat 2026, dengan penyelesaian dijadualkan pada Disember, tertakluk kepada pemenuhan syarat perjanjian dan kelulusan berkaitan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved