liza21/10/2026 - 14:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Pemegang saham Mudajaya Group Bhd disaran menyokong cadangan penjualan 45% pegangan ekuiti dalam Real Jade Ltd kepada Minyi Holdings Ltd (MHL) selepas penasihat bebas menyifatkan urus niaga itu sebagai adil dan munasabah serta tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham bukan berkepentingan.
Syor itu dikemukakan SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd menerusi pekeliling kepada pemegang saham Mudajaya bertarikh 21 Oktober 2026, menjelang Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan berlangsung pada 5 November 2026 bagi mendapatkan kelulusan terhadap cadangan berkenaan.
Cadangan pelupusan itu melibatkan 45% kepentingan ekuiti dalam Real Jade pada harga HKD234 juta bersamaan kira-kira RM118.45 juta.
Real Jade adalah syarikat yang mempunyai operasi berkaitan pengeluaran simen di China.
Harga pelupusan dalam julat penilaian
Menurut pekeliling itu, penilaian bebas oleh AER menunjukkan nilai keseluruhan ekuiti Real Jade berada pada HKD334.42 juta berdasarkan kaedah aset bersih, manakala nilai pegangan 45% dianggarkan sebanyak HKD150.49 juta.
Bagaimanapun, berdasarkan kaedah aliran tunai bebas kepada firma (FCFF), nilai keseluruhan ekuiti Real Jade dianggarkan antara HKD499.29 juta hingga HKD552.12 juta, bersamaan nilai HKD224.68 juta hingga HKD248.45 juta bagi pegangan 45%.
Oleh itu, harga pelupusan HKD234 juta berada dalam julat penilaian berdasarkan kaedah FCFF, walaupun lebih tinggi daripada nilai pegangan yang ditentukan menerusi kaedah aset bersih.
Penilaian itu turut mengambil kira operasi Real Jade, termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran kilang simennya yang selesai pada September 2026. Kapasiti pengeluaran harian meningkat daripada 2,500 tan kepada 4,000 tan, dengan kapasiti tahunan praktikal maksimum kira-kira 900,000 tan.
Hasil jualan digunakan untuk penyelesaian hutang
Mudajaya berkata balasan pelupusan akan diselesaikan melalui kaedah tolak selesai dengan hutang yang perlu dibayar oleh Xelmont Limited, anak syarikat tidak langsung milik penuh Mudajaya, kepada MHL.
Jumlah hutang berkenaan ialah HKD244.97 juta setakat 30 April 2026. Selepas mengambil kira balasan pelupusan sebanyak HKD234 juta, baki HKD10.97 juta serta faedah terakru sehingga tarikh penyempurnaan urus niaga perlu dibayar secara tunai.
MHL merupakan pihak berkepentingan dalam urus niaga itu dan memiliki 11.76% kepentingan langsung dalam Mudajaya. Sehubungan itu, MHL serta pihak berkaitan yang terlibat perlu berkecuali daripada mengundi resolusi berkenaan, mengikut ketetapan yang dinyatakan dalam pekeliling tersebut.
Kurangkan pembiayaan
Pelupusan itu dijangka membantu Mudajaya mengurangkan beban pembiayaan, dengan penjimatan faedah tahunan dianggarkan sebanyak HKD14.49 juta, bersamaan kira-kira RM7.34 juta.
Pekeliling itu menyatakan kadar pembiayaan bagi Pinjaman I ialah 6%, manakala Pinjaman II dan Pinjaman III masing-masing dikenakan kadar 8%.
Dari segi kedudukan kewangan pro forma, gearing kumpulan dijangka berkurang daripada 0.76 kali kepada 0.59 kali selepas mengambil kira kesan cadangan pelupusan tersebut. Aset bersih sesaham pula dijangka meningkat daripada RM1.06 kepada RM1.14.
Mudajaya juga dijangka merekodkan keuntungan pelupusan sekali sahaja sebanyak HKD82.11 juta, bersamaan kira-kira RM41.57 juta, selepas mengambil kira anggaran perbelanjaan urus niaga sebanyak HKD1.4 juta atau RM709,000.
Mudajaya kekal memiliki 55% pegangan tidak langsung
Walaupun melupuskan 45% kepentingan ekuiti, Mudajaya dijangka mengekalkan 55% pegangan tidak langsung dalam Real Jade. Kumpulan itu juga dijangka terus mengawal Real Jade dan menyatukan keputusan kewangannya dalam penyata kewangan kumpulan.
Bagaimanapun, prestasi kewangan Real Jade menunjukkan hasil dan keuntungan kumpulan itu mengalami perubahan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Hasilnya menurun daripada HKD401.32 juta pada tahun kewangan 2023 kepada HKD268.08 juta pada tahun kewangan 2024, sebelum susut lagi kepada HKD203.31 juta pada tahun kewangan 2025.
Real Jade mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak HKD29.82 juta pada tahun kewangan 2023 dan HKD22.43 juta pada tahun kewangan 2024, sebelum beralih kepada kerugian selepas cukai HKD40.44 juta pada tahun kewangan 2025.
Cadangan pelupusan itu dijangka disempurnakan pada suku keempat 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu serta kelulusan yang diperlukan. - DagangNews.com





