Pencapaian Malaysia dalam Laporan Daya Saing Dunia 2025 bukti keberkesanan dasar industri dan pelaburan - MPC

21/07/2025 - 12:42
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Julai – Kejayaan Malaysia yang mencatat lonjakan kedudukan 11 anak tangga dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 baru-baru ini adalah didorong oleh prestasi kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pelaksanaan reformasi kecekapan regulatori yang menyeluruh, kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
MPC berkata, peningkatan itu mencerminkan momentum industri yang mampan dan usaha berterusan Kerajaan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra pelabur.
Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada pencapaian ini ialah pelaksanaan Industrial Green Lane (IGL) yang mempercepatkan proses kelulusan pembangunan dan pelesenan bagi projek industri berimpak tinggi.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail berkata, daya saing Malaysia kini bukan sekadar berasaskan kekuatan industri, tetapi juga hasil daripada transformasi pentadbiran yang ketara.
“Melalui IGL, pemprosesan lesen diselaraskan secara serentak menerusi taklimat teknikal, kelulusan dipercepat dan pengeluaran lesen dalam tempoh 24 jam selepas menerima sijil penyiapan dan pematuhan.
“Setakat ini, model tersebut telah menjana RM500 juta hasil kepada pihak berkuasa tempatan, mencipta 20,000 pekerjaan dan merangsang pelaburan berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang 2024, Malaysia telah meluluskan pelaburan keseluruhan bernilai RM378.5 bilion, termasuk RM120.5 bilion dalam sektor pembuatan.
Sektor E&E kekal menjadi pemacu utama dengan pelaburan RM55.8 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang merangkumi 73.8 peratus.
MPC menjelaskan, sektor itu terus berkembang melalui integrasi dalam rantaian bekalan semikonduktor global, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pengukuhan ekosistem pembekal.
Perkembangan tersebut selari dengan hala tuju Strategi Semikonduktor Negara dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Bagaimanapun, MPC mengakui beberapa cabaran masih wujud termasuk kecekapan urusan kastam, ketelusan perdagangan serta pengurusan dokumentasi yang perlahan – yang dikenal pasti dalam laporan WCR 2025.
Menurut MPC, peningkatan daya saing eksport bergantung kepada kejayaan mengurangkan halangan bukan tarif dan menambah baik fasilitasi perdagangan negara.
“E&E Productivity Nexus bersama agensi nasional sedang menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan dan kecekapan tenaga berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dapat menyesuaikan diri dengan piawaian global.
“Pelaksanaan IGL dijangka diperluas ke seluruh negara disamping penambahbaikan infrastruktur logistik dan pelaksanaan reformasi pentadbiran yang berasaskan data,” katanya. - DagangNews.com
standard
