Pelaburan MyCIF cecah RM1.19 bilion, lonjakkan pertumbuhan PMKS negara – Suruhanjaya Sekuriti

LocalBusiness & Finance
21 Jul 2025 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaburan MyCIF cecah RM1.19 bilion, lonjakkan pertumbuhan PMKS negara – Suruhanjaya Sekuriti

image is not available

21/07/2025 - 15:56

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Sebanyak RM1.19 bilion telah disalurkan oleh Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) setakat akhir 2024, mencerminkan peranan pentingnya dalam memperkasa pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Ditubuhkan di bawah Belanjawan 2019 oleh Kementerian Kewangan, MyCIF menggunakan platform pembiayaan berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) untuk menyalurkan dana kepada PMKS.

Sehingga kini, lebih 9,500 PMKS telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Laporan Prestasi Tahunan 2024 yang diterbitkan Suruhanjaya Sekuriti hari ini menyatakan sebanyak RM264 juta pelaburan telah dibuat sepanjang tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan bersama meningkat kepada RM1.19 bilion.

“Untuk setiap ringgit dana awam yang dilaburkan, MyCIF berjaya menarik pembiayaan sektor swasta sebanyak 4.1 kali ganda, dengan peningkatan pelaburan swasta sebanyak 21.4 peratus pada 2024.

“Jumlah pelaburan ini adalah 4.6 kali ganda lebih tinggi daripada peruntukan kerajaan sebanyak RM260 juta yang telah disalurkan ke dalam program ini, membuktikan kecekapan penggunaan dana awam serta keyakinan tinggi pelabur terhadap pendekatan MyCIF,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Skim Am dengan nisbah pelaburan 1:4, MyCIF turut memperkukuh sokongan terhadap sektor strategik melalui skim tumpuan seperti Skim Keterjaminan Makanan dan Skim Perusahaan Alam Sekitar & Sosial, yang menawarkan nisbah pelaburan 1:2.

Katanya, pelaburan dalam segmen itu meningkat kepada RM7 juta pada 2024, berbanding RM3.4 juta pada tahun sebelumnya.

“Di bawah Bajet 2025, sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk menggalakkan pembiayaan berasaskan perkongsian risiko Islam, termasuk menerusi konsep Musharakah dan Mudharabah melalui platform ECF dan P2P.

“MyCIF akan bertindak sebagai pelabur kerugian pertama dalam kempen berkaitan, dan menawarkan kadar pembiayaan sifar peratus bagi P2P Islam,” menurut kenyataan itu.

Pada Julai 2024, MyCIF turut melancarkan Skim Kesan Alam Sekitar & Sosial untuk menyokong perniagaan yang berteraskan komuniti, keterjaminan makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Skim ini turut terbuka kepada PMKS yang membiayai projek aset wakaf dalam bidang berkaitan.

Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran dan akses kepada pembiayaan alternatif, MyCIF telah menganjurkan jerayawara pertama di Pulau Pinang pada Februari lalu dengan tema “Memperkasakan Pembiayaan, Memajukan Pertumbuhan”, yang mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA).

MyCIF akan meneruskan jelajahnya di Kota Kinabalu pada 31 Julai ini, dengan objektif membina kesalinghubungan antara pasaran modal dan usahawan di Sabah serta memperluaskan capaian kepada saluran pembiayaan alternatif bagi PMKS tempatan.

Laporan Tahunan MyCIF dan maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - DagangNews.com

standard