
LUMUT – Sampel air dari tiga lokasi di Sungai Sitiawan telah diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menentukan punca pencemaran yang menyebabkan kematian ikan di sungai berkenaan pada Ahad lalu.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, tiga lokasi tersebut ialah pelantar Wak Dol, penginapan D’ Chalet dan Tanjung Uda River Resort.
Beliau berkata, sampel air berkenaan diambil JAS setelah pihak berkenaan dimaklumkan mengenai penemuan ikan mati di Sungai Sitiawan pada pukul 9.57 pagi hari berkenaan.
“Siasatan di lokasi aduan mendapati terdapat beberapa ekor ikan dan hidupan laut yang lain dikesan mati dan timbul di permukaan.
“Di lokasi pertama iaitu pelantar Wak Dol, ikan yang ditemui adalah ikan-ikan kecil, manakala di lokasi kedua di penginapan D’ Chalet, didapati ikan-ikan yang mati adalah ikan bersaiz besar. Persampelan in situ serta percontohan untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia telah dijalankan di ketiga-tiga lokasi,” katanya di sini hari ini.
Kok Lim berkata, seterusnya, penguatkuasaan dijalankan di sebuah kilang di Kg. Acheh dan sampel efluen industri telah diambil bertujuan untuk memadankan (matching) sampel dari premis itu dengan sampel air sungai.
“Pasukan siasatan mengenal pasti berlaku kerosakan valve blower di Sewage Treatment Plant (STP). Namun, sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil kerana kadar alir (flowrate) sangat rendah iaitu 0.583 m3/hr,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, JAS akan menyusul hasil analisa oleh Jabatan Kimia terhadap sampel-sampel air sungai serta sampel efluen industri. – KOSMO! ONLINE
The post Pencemaran Sungai Sitiawan, sampel dari tiga lokasi diambil JAS appeared first on Kosmo Digital.





