Seorang lelaki yang dikaitkan dengan dakwaan kes gangguan seksual terhadap mangsa bawah umur dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar hari ini bagi permohonan perintah reman.
Permohonan reman selama dua hari bermula hari ini dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mohd Amiruldin Roslan selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat polis.
Advertisement
Terdahulu, suspek yang memakai kemeja-T berwarna hitam dilihat tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis serta dikawal ketat anggota keselamatan.
Polis sebelum ini minta penceramah tampil bantu siasatan
Semalam, polis mengeluarkan kenyataan meminta penceramah motivasi terbabit tampil ke balai polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes gangguan seksual.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim dilaporkan berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian yang mengaitkan penceramah terbabit pada jam 2.09 pagi, 26 September lalu.
Susulan laporan itu, individu berkenaan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar bagi memberi kerjasama serta keterangan.
Pihak polis turut menggesa mana-mana individu lain yang mendakwa menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beberapa wanita tampil buat pendedahan di media sosial
Sebelum ini, beberapa wanita membuat pendedahan di media sosial dan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual serta manipulasi atau grooming oleh seorang lelaki yang juga berstatus suami orang.
Antara dakwaan yang dibangkitkan adalah individu terbabit dikatakan mendekati mangsa menerusi aplikasi TikTok dengan menggunakan alasan berkaitan urusan kerja atau pelajaran.
Dalam pendedahan tersebut, lelaki berkenaan turut didakwa mengajak mangsa menjadi “sugar baby” selain mengajak mereka mendaftar masuk ke hotel.
Bagaimanapun, semua dakwaan tersebut masih tertakluk kepada siasatan pihak berkuasa dan belum diputuskan oleh mahkamah.
Program di sekolah dihentikan serta-merta
Susulan pendedahan yang tular, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pada Khamis lalu mengarahkan semua program di sekolah yang membabitkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta.
Menurut Fadhlina, dakwaan yang dibangkitkan disifatkan serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan perlindungan murid.
Kementerian Pendidikan juga sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara tersebut bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan.
Perintah reman dua hari yang diperoleh hari ini adalah bagi membolehkan pihak polis meneruskan siasatan terhadap dakwaan berkenaan. – HARIAN METRO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Dakwaan Penceramah Bebas Berkelakuan Tidak Senonoh Tular, Fadhlina Arah Semua Program Dihentikan Serta-Merta
The post Penceramah Motivasi Direman Dua Hari, Disiasat Susulan Dakwaan Gangguan Seksual Membabitkan Mangsa Bawah Umur first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





