Penceroboh robek maruah negara

LocalEnvironment
7 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penceroboh robek maruah negara

Memalukan negara. Itu reaksi spontan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling, Prof. Dr. Maketab Mohamed mengenai penerokaan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama negara.

Keunikan kawasan berkenaan yang mempunyai pelbagai hidupan dan tumbuhan yang kebanyakannya adalah tumbuhan yang boleh menyimpan air menyerlahkan lagi tasik itu.

Tasik air tawar sepanjang 35 kilometer dan selebar 20 kilometer itu terbesar di Malaysia.
Ekosistem Tasik Bera kaya dengan pelbagai jenis hidupan liar dan tumbuhan dan menjadi tempat perlindungan lebih 200 spesies burung, 50 mamalia serta 90 spesies ikan.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, kawasan seluas 31,255 hektar itu bukan sekadar tasik dan hutan, namun ia sebenarnya satu pengiktirafan dunia dan maruah negara.

Maka, pencerobohannya meletakkan maruah negara di persimpangan.

Katanya, walaupun status Ramsar tidak terbatal serta merta, namun Tasik Bera berisiko diklasifikasikan sebagai tapak terancam dunia apabila 7,000 hektar daripada keseluruhan 31,255 hektar ditukar menjadi ladang sawit atau getah.

Tegasnya penukaran status hutan memberi kesan kepada fungsi hidrologi tanah lembap dan kepelbagaian biologi asli akan tergadai dan Malaysia bukan sahaja akan kehilangan ekosistem tanah lembap yang unik tetapi mencalar imej negara di mata dunia.

Kisah Ramsar Tasik Bera yang digondol pastinya mengejutkan orang luar, namun bagi penduduk sekitar penerokaannya telah berlaku sejak sekian lama.

Dengan lebih 7,000 hektar kawasan hutan di sekeliling tasik yang sudah digondolkan sudah tentu ia memerlukan tempoh lama, perbelanjaan dan jentera.

Dengan pokok sawit yang sudah besar dan matang sudah tentu ia memakan masa yang lama dan keluar masuk sawit ke kawasan itu sudah tentu tidak dapat dikaburi.

Persoalan di sini adalah mengapa aktiviti menggondol Hutan Simpan Kekal pada saiz mega ini tidak dilihat oleh pihak berkuasa berkaitan dan pemimpin setempat.

Mungkinkah ada silap mata atau ‘ilmu halus’ untuk mengaburi mata pihak berkuasa hingga berlaku penerokaan besar baru tindakan diambil.

Persoalannya, siapa dalang dan kenapa ada yang berdiam diri serta membiarkan sahaja perkara sebesar ini terus berlaku.

Siasatan harus dilakukan oleh pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengenal pasti semua dalang.

Periksa juga laporan-laporan yang telah diberikan penguat kuasa yang bertugas sebelum ini, tanya bos mereka kenapa laporan itu disimpan dan tidak diambil tindakan.

Selain itu tindakan tegas perlu diteruskan bagi mengambil semula tanah-tanah hutan simpan kekal ini. Tangkap dan hukum sahaja mereka yang menghalang kerana kita ada undang-undang, jangan diberi muka kerana akan merosakkan imej negeri dan negara.

Selain itu peraturan, penguatkuasaan dan undang yang ada di Ramsar Tasik Bera juga perlu diperkemaskan.

Pada masa ini tiada undang-undang khas untuk tapak Ramsar yang hanya bergantung kepada Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Orang Asli 1954, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hakikatnya tindakan tegas perlu dilakukan dan keadilan buat tapak Ramsar harus ditegakkan.

Marilah sama kita pelihara dan bongkar silap mata yang mampu menghalalkan penerokaan besar sejak sekian lama.

The post Penceroboh robek maruah negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved